AM

Akaun ''Sexual Grooming'": Fahmi Sahkan MCMC Ada Terima Aduan  

26/10/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) di akaun media sosial.

Beliau berkata MCMC sedang bekerjasama dengan Meta dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

“PDRM akan mengenal pasti jenis aktiviti yang sedang berlangsung dalam kumpulan tersebut, dan jika terdapat sebarang kesalahan, tindakan akan diambil. MCMC, selaku agensi teknikal, akan membantu dalam pemeliharaan data dan profil akaun berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Pengumuman Kolaboratif Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tentang kewujudan beberapa kumpulan di akaun media sosial yang menjurus kepada aktiviti pengantunan kanak-kanak. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan, Perak,  Fahmi berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Saya juga telah baca sendiri komen-komen bersifat 3R (raja, agama dan kaum) yang berlegar (di media sosial) mengenai isu ini dan ingin memberi peringatan elakkanlah daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan atau 3R terutama isu perkauman.

“Pihak MCMC sedang meneliti dan bekerjasama dengan PDRM untuk mengenal pasti mereka yang cuba menghasut dalam isu ini,” katanya.

Sebelum ini, tular video perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mengibarkan bendera negara asing di media sosial yang melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris, mengesahkan bahawa perarakan yang tular di media sosial adalah sambutan Guan Gong Sedunia, Stesen Malaysia dan beberapa keterangan telah diambil untuk membantu siasatan berkaitan isu tersebut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan