AM

Anugerah E50 Berlangsung Malam Ini Iktiraf Pencapaian PMKS

26/10/2024 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Sebanyak 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terbaik di Malaysia bakal diiktiraf dan diumumkan sebagai pemenang Anugerah Enterprise 50 (E50) 2024 pada malam ini.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan bersama SME Corp Malaysia dan Deloitte Malaysia memaklumkan dengan tema tahun ini 'Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia', E50 yang telah memasuki tahun ke-24 penganjuran berjaya menonjolkan PMKS yang berdaya saing dan berdaya tahan.

Selain itu, penganjuran anugerah berkenaan juga berjaya mengetengahkan PMKS yang mampu menghadapi cabaran global dengan semangat keusahawanan jitu selain meningkatkan penjenamaan syarikat.

Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata buat kali pertama pada tahun ini pihaknya turut memperkenalkan anugerah khas iaitu  Anugerah Amalan ESG Terbaik E50 bagi memperakui syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan.

“Daripada 50 PMKS yang akan diumumkan sebagai pemenang, 10 akan menjadi penerima teratas serta tiga lagi anugerah khas iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50 serta Anugerah Amalan ESG Terbaik E50 yang merupakan kali pertama diperkenalkan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata pada tahun ini sebanyak 122 pencalonan telah diterima sekali gus merupakan jumlah pencalonan tertinggi yang pernah dicatatkan. 

“Namun demikian, hanya 105 syarikat dapat mengemukakan dokumen lengkap dan layak untuk diberi penilaian lanjut berdasarkan aspek kewangan dan bukan kewangan.

“Majoriti penerima anugerah berada dalam sektor perkhidmatan, beroperasi di Lembah Klang dan menerima empat bintang di bawah Program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE),” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini sebanyak 16 atau 32 peratus syarikat daripada penerima Anugerah E50 merupakan syarikat milikan wanita.

Selain trofi dan sijil, pemenang Anugerah E50 2024 juga akan menerima pelbagai manfaat seperti penjenamaan dan promosi menerusi liputan media oleh Media Prima Omnia, perkhidmatan penilaian kredit dan karbon oleh RAM Rating Services Berhad, pakej pengiklanan digital oleh KLIA TV dan Malaysia SME serta pakej Unifi Mobile 5G postpaid Biz39.

Pemenang juga bakal menikmati green lane bagi kemudahan pembiayaan sehingga RM500,000 menerusi Digital Financing Initiative (DFI) di bawah SME Corp Malaysia melalui microLEAP.

Penganjuran Anugerah E50 merupakan hasil kerjasama awam-swasta antaranya YTL Corporation Berhad, RHB Bank Berhad, KLIATV Media, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, ASTRO Malaysia Holdings Berhad, Unifi Business dan Malaysia SME.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan