AM

PM Anwar Lancar Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan 12 Dis - Gobind

27/10/2024 02:16 PM

JOHOR BAHRU, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Kuala Lumpur pada 12 Dis depan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pejabat itu akan berperanan membantu kerajaan menggubal polisi bersesuaian dengan pembangunan AI.

“Yang penting kita lancarkan pejabat (NAIO) ini, selepas itu kita dapatkan input daripada seluruh industri berkaitan keperluan industri (AI) ini.

“Apabila kita bergerak ke arah AI, kita lihat aspek bagaimana ia membawa kebaikan, tetapi dalam masa sama ada risiko yang terlibat dan bagaimana kita boleh manfaatkan keseimbangan dan risiko AI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekosistem Rantaian Bekalan Pusat Data GDS di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Ching Tong serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GDS Holdings Ltd William Huang.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Rabu lepas, Kementerian Digital memaklumkan penubuhan NAIO berupaya meningkatkan keupayaan AI negara dengan memupuk inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor serta menyokong integrasi AI ke dalam rangka kerja kerajaan, industri dan masyarakat.

Selain itu NAIO turut menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital, meningkatkan perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan.

Sementara itu Gobind berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan membuka pejabat di Johor bulan depan untuk memudahcarakan pelaburan berkaitan ekonomi digital.

Beliau berkata pembukaan pejabat kedua MDEC di luar Lembah Klang selepas Pulau Pinang itu sebagai persediaan untuk membantu pelabur, menjelang majlis menandatangani perjanjian Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.

“MDEC akan melihat bagaimana kita memudah cara proses sekiranya ada pelabur menunjukkan minat buat pelaburan dan ambil bahagian dalam JS-SEZ, ini menjadikan lebih mudah untuk mereka datang ke Johor bagi memulakan perniagaan,” katanya.

Gobind berkata Johor sudah bersedia untuk menjadi hab pusat data berdasarkan usaha yang dijalankan kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan asas serta sokongan kepada industri itu.

Sementara itu Onn Hafiz berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Johor Talent Development Council (JTDC), untuk memastikan tenaga mahir tempatan yang mencukupi bagi industri pusat data.

“Timbalan Perdana Menteri akan melancarkan JTDC 3 Nov ini,” katanya.

Terdahulu Gobind dan Onn Hafiz menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara GDS International dengan lima syarikat pembekal utama untuk membangunkan sistem rantaian pembekal di Malaysia.

Sidang kemuncak sehari itu menarik sekitar 400 peserta dari dalam dan luar negara serta pembekal dari China, Malaysia, Amerika Syarikat dan Jepun, yang membentangkan perkhidmatan dan penyelesaian pusat data terkini mereka dalam format pameran.

Sidang kemuncak itu juga menekankan kesan penting rantaian bekalan terhadap industri pusat data, menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan dan pemimpin industri, dan mengetengahkan pelbagai peluang pelaburan dalam negara.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan