KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Penganjuran Sukan Hari Wartawan Nasional (Hawana) akan diterapkan dalam Kalendar Hawana bermula tahun hadapan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kejohanan tahunan itu akan melibatkan skala lebih besar dengan penyertaan ramai pengamal media termasuk dari negeri, selain turut boleh memperkenalkan sukan tradisional seperti karom, dam aji dan sebagainya.
“Ia tidak semestinya perlu melibatkan acara di atas padang sahaja. Jadi ini antara sebahagian permainan tradisional yang mungkin boleh dimasukkan.
“Untuk itu saya akan meminta pasukan saya untuk lihat apa acara sukan lain yang boleh dimasukkan untuk penganjuran tahun hadapan,” katanya kepada pemberita semasa hadir di Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah (9S) dan Bola Jaring Antara Media sempena Sukan Hawana di Padang Brainy Bunch Melawati di sini hari ini.
Fahmi juga menyifatkan penganjuran program itu sebagai sesuatu yang sangat baik kerana mampu merapatkan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan pengamal media tempatan.
Sebanyak 17 pasukan bola sepak 9S menghangatkan saingan Sukan Hawana 2024, antaranya pasukan dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Harian Metro, Utusan Malaysia, Awani Troopers, Sinar FC, Finas, Media Perak serta TV3, dan sembilan pasukan bola jaring menyertai Sukan Hawana edisi sulung itu.
Juara bola sepak akan membawa pulang RM3,000, pingat dan piala, naib juara RM2,000 serta pingat manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM1,000 dan RM800 berserta pingat.
Bagi acara bola jaring pula, pemenang utama akan membawa pulang RM2,000, pingat dan piala, naib johan RM1,000 dan pingat manakala ketiga dan keempat masing-masing meraih RM500 dan RM400 berserta pingat.
Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin merasmikan kejohanan dua acara itu, yang turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus.
Hawana yang pertama kali disambut 11 April 2018, dikelolakan Bernama selaku agensi pelaksana acara tahunan, bertujuan meraikan jasa dan pengorbanan komuniti media serta mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara selain menjadi platform untuk mereka berkumpul dan membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi industri.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Hawana, bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada tarikh tersebut pada 1939.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial