PUTRAJAYA, 27 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) diberikan keutamaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata UI penting untuk membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika di peringkat agensi.
Beliau berkata untuk tujuan ini, UI perlu melaksanakan enam fungsi teras dengan berkesan iaitu Tadbir Urus; Pengukuhan Integriti; Pengesanan dan Pengesahan; Pengurusan Aduan; Pematuhan; dan Tatatertib.
"Dalam hal ini, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM akan membantu menyelaras pelaksanaan fungsi UI di samping menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan Ul bagi agensi-agensi awam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azam berkata Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebuah institusi bertaraf antarabangsa di bawah SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti.
Setakat ini, hanya 49 PBT telah menubuhkan UI masing-masing.
Azam berkata SPRM menyambut baik inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memasukkan elemen antirasuah dalam sistem penilaian PBT bermula tahun ini.
Memetik laporan media pada 26 Okt lepas, Azam berkata sebanyak 12 PBT telah mengalami penurunan taraf dalam Sistem Penarafan Bintang (SPB-PBT) selepas elemen antirasuah dimasukkan dalam sistem penilaian itu.
"SPRM yakin inisiatif ini akan mempertingkatkan ketelusan dalam prestasi PBT. Langkah ini penting untuk memperkukuh integriti, tadbir urus dan tata kelola demi merealisasikan sistem perkhidmatan awam yang cekap, bersih dan berkesan," katanya.
Azam berkata SPRM bersedia memberikan sokongan dari segi khidmat nasihat dan latihan bagi memastikan penubuhan UI di setiap 156 PBT di seluruh negara selaras dengan keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian 1.2.1: Penubuhan Ul di semua Sektor Awam seperti yang disarankan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
SPRM turut mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi berterusan daripada agensi-agensi awam untuk melaksanakan inisiatif yang digariskan dalam NACS.
Beliau berkata melalui usaha itu dapat memperkukuh imej negara dan merealisasikan aspirasi bersama untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPl).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial