AM

Dua Usahawan Cacat Penglihatan Bukti Kekurangan Fizikal Bukan Halangan Berjaya

27/10/2024 09:27 PM

NILAI, 27 Okt (Bernama) -- Dua usahawan cacat penglihatan membuktikan kekurangan fizikal bukan halangan untuk mencapai kejayaan, dan kesungguhan mereka menguruskan pusat urut saraf selama 20 tahun wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat.

Hasidi Hassan, 56, berkata perniagaan yang diusahakan bersama rakan kongsi, Siti Hadijah Abu Bakar, 49, telah menempuh pelbagai ujian, namun dengan kemahiran yang dimiliki, mereka terus berusaha untuk memastikan pusat urut Maju Therapy Zone di dua lokasi di Kuala Lumpur kekal berdaya saing.

Yakin dengan keupayaan diri dan pengalaman mengurut hampir 30 tahun, pusat urutan berkenaan kini mempunyai hampir 20 tukang urut yang terdiri daripada pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

“Saya belajar mengurut dengan beberapa pakar di Universiti Beijing Hospital Massage secara berperingkat bermula 2004 hingga 2018, dan sejak itu saya tingkatkan kemahiran mengurut sehingga membuka pusat urutan ini.

“Sebelum COVID-19, saya ada beberapa cawangan lain, tetapi hanya dua lokasi dapat bertahan selepas pandemik itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Hasidi dan Siti Hadijah menerima anugerah khas pada Majlis Konvokesyen Kemahiran dan Keusahawanan (TVETec) Malaysia di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

Hasidi berkata selain menyediakan perkhidmatan urutan terapi kepada pelanggan, pusat itu juga menawarkan khidmat latihan dan kemahiran kepada OKU penglihatan untuk mempelajari teknik urutan yang betul.

Beliau berkata pelanggan lama tetap menggunakan perkhidmatan urut yang ditawarkan meskipun perniagaan mereka diuji semasa pandemik COVID-19.

Bapa kepada empat anak itu berkata beliau mengalami kecacatan penglihatan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 1995.

“Saya asalnya celik, tetapi akibat kemalangan itu mata saya terkena percikan kaca yang menyebabkan saya cacat penglihatan. Selepas kemalangan itu, saya berasa tidak bersemangat juga, tambahan pula saya pernah aktif bermain bola sepak mewakili Perlis selain bekerja di Proton,” katanya.

 Hasidi berkata hasil sokongan keluarga dan rakan-rakan, beliau yakin potensi mengurut ini mempunyai masa depan yang lebih baik.

Sementara itu, Siti Hadijah berkata beliau bersyukur kerana khidmat terapi yang dikendalikan itu mendapat maklum balas positif daripada pelanggan, selain turut memberi perkhidmatan berkenaan kepada beberapa individu kenamaan.

“Menerusi teknik pembelajaran di Beijing, saya dapat meningkatkan kemahiran urutan dengan kefahaman tentang struktur badan manusia, mendalami aspek anatomi dan fisiologi,” kata ibu kepada lima anak itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan