AM

Kajian Pelaksanaan Dilakukan Bagi Teruskan PROTÈGÈ Dalam RMK-13 - Ewon

27/10/2024 09:51 PM

KOTA KINABALU, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melakukan kajian penilaian terhadap Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneur (PROTÈGÈ)  yang dilaksanakan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata dapatan daripada kajian mengenai PROTÈGÈ itu adalah penting bagi membolehkan kementeriannya meneruskan program itu dalam RMK-13.

Beliau berkata PROTÈGÈ penting kerana ia mampu menjadi platform kepada mahasiswa dan graduan untuk meneroka peluang pekerjaan dengan penglibatan syarikat yang ingin mengambil mereka sebagai pelatih dan seterusnya bekerja di syarikat tersebut.

“Sesi libat urus bagi RMK Ke-13 sedang dijalankan pada masa ini. Inisiatif di bawah program itu (PROTÈGÈ) perlu diteruskan mahupun inisiatif baharu yang perlu dilaksanakan di dalam RMK Ke-13 di bawah KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi).

“PROTÈGÈ menjadi platform kepada mahasiswa menceburi sektor keusahawanan malah berpeluang  menerima pembiayaan daripada agensi di bawah KUSKOP dan sektor perbankan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival PROTÈGÈ zon Borneo di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya menutup program dua hari berakhir hari ini, Ewon berkata sehingga kini seramai 60,649 mahasiswa dan graduan telah mengikuti pelbagai program keusahawanan PROTÈGÈ di bawah RMK-12.

Beliau berkata seramai 31,484 graduan telah mendapat manfaat daripada PROTÈGÈ Ready To Work (RTW) bermula dari 2021 hingga bulan lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan