AM

Eksesais HARINGGAROO Malaysia Dan Australia Kongsi Kepakaran Operasi Hutan

27/10/2024 11:55 PM

SIBU, 27 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan Eksesais HARINGGAROO Siri 74/2024 melibatkan penyertaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Australia (TDA) yang berakhir hari ini menyaksikan kedua-dua negara berkongsi pengalaman serta kepakaran operasi hutan.

Eksesais berkenaan yang julung kali diadakan di Sarawak bermula 24 Okt lepas menyaksikan TDM diwakili 3 Rejimen Renjer Diraja (3RRD) dengan kekuatan 41 pegawai dan 324 anggota lain-lain pangkat manakala TDA diwakili Rifle Company Butterworth (RCB) dengan kekuatan sembilan pegawai dan 98 anggota lain-lain pangkat.

Eksesais itu yang diadakan di Stapang, kira-kira 46 kilometer dari pusat bandar di sini, membolehkan 3RRD dan RCB berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam Peperangan Melawan Insurgensi (PMI) terutamanya Operasi Hutan.

“Latihan ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama bilateral di bawah Malaysian Australian Joint Defence Programme (MAJDP). Latihan yang kali pertama dilaksanakan pada 1977 itu dikenali sebagai Eksesais SCORPION sebelum dinamakan semula Eks HARINGGAROO (Harimau–Kanggaru). Pada asalnya, eksesais ini untuk menunjukkan kekuatan kepada blok komunis pada 1970-an,” menurut kenyataan media 3RRD hari ini.

Ia juga bertujuan menguji kesiagaan Trup 3RRD dan RCB dan membuktikan bahawa kedua-dua angkatan tentera sentiasa komited melaksanakan latihan dua hala di samping mewujudkan persefahaman meliputi aspek pelaksanaan latihan bersama serta hubungan antara Malaysia–Australia.

Eksesais yang dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu pembelajaran silang atau Cross Training Exercise (CTX) dan latihan medan atau Field Training Exercise (FTX) diakhiri dengan serangan terhadap khemah sementara musuh.

Di samping itu, aktiviti Civil Military Co-operation (CIMIC) turut dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Batu 15, Kem Oya dengan program menceriakan landskap serta sumbangan buku ilmiah untuk murid.

Upacara penutupan eksesais itu disempurnakan oleh Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) Brig Jen Ahmad Norzaini Badrun dan Komander Briged Ketujuh TDA Brig Jen Giles J.S. Cornelia.

Turut hadir dalam acara penutup eksesais itu ialah Ketua Staf Markas 9 Briged Lt Kol Muhammad Samzie Gusang, Pegawai Memerintah 3RRD Lt Kol Majani Japon, Pegawai Pemerintah 2nd/30th Training Group RCB-TDA Lt Kol Richard Trembath dan Pegawai-Pegawai Pemerintah pasukan bawah naungan Formasi 9 Briged.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan