AM

Tol Percuma Sempena Deepavali Pada 29 Dan 30 Okt - Nanta

28/10/2024 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati tol percuma pada 29 dan 30 Okt sempena sambutan Deepavali.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan tol percuma bakal dilaksanakan di semua lebuh raya bermula 12.01 tengah malam esok hingga 11.59 malam, 30 Okt (Rabu).

Bagaimanapun, beliau berkata pengecualian itu hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.

“Kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung oleh kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.

“Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama kerajaan Malaysia MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat di samping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Nanta berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan  merancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik berdasarkan panduan yang disediakan.

“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah, mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.

“Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan