AM

Takrifan T15: Kementerian Ekonomi Sedang Perinci Sebelum Bentang Kepada Kabinet

28/10/2024 04:35 PM

MELAKA, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Ekonomi sedang memperincikan kumpulan T15 dalam tempoh sebulan ini dengan kerjasama Kementerian Kewangan, sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata perincian itu amat diperlukan bagi memberi garis lebih tepat kepada kumpulan T15, yang akan dinilai berdasarkan lokaliti dan takrifannya bukan lagi bersifat nasional, sebagaimana dasar terdahulu.

“(Takrifan T15) ia takkan jadi satu garis (asas) untuk satu negara sebab perbelanjaan itu berbeza-beza, kuasa hidup dia berbeza-beza ikut kawasan. Jadi mungkin di satu kawasan, kalau dah lebih RM10,000 pendapatan isi rumah, bila dah ditengok semua dengan perbelanjaan bersih (dan) pendapatan boleh belanja bersih (sesebuah keluarga). 

“Kalau kita buat macam tu (takrifan secara pukal) untuk satu negara dan itulah yang berlaku ketidakadilan. Anda tahu yang (berpendapatan) RM15,000 di Kuala Lumpur, (itu) di kawasan yang mahal, tapi RM15,000, katakanlah di Gua Musang, memang kayalah... jadi dia berkemungkinan penentuan (T15) itu sebenarnya mengikut lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Melaka, yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini hari ini.

Rafizi berkata asas bagi takrifan T15 itu juga akan berpandukan pendapatan boleh belanja bersih sesebuah isi rumah, dengan ukuran tanggungan dibuat berdasarkan perbelanjaan asas kehidupan wajar.

“Maksudnya bagi setiap keluarga yang saiznya tertentu, berapakah jumlah minima yang diperlukan untuk menjalani kehidupan wajar.

“Kehidupan wajar ini definisinya ialah selain daripada kena ada rumah yang baik, makan, minum, ia juga mempunyai belanja untuk menyertai kehidupan yang ada sosial, ada hiburan dan sebagainya... kesihatannya dijaga dengan baik,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 sebelum ini dilaporkan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15 dan perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang meminta kerajaan meneliti semula pengelasan pendapatan isi rumah, bagi mengelakkan keciciran pemberian bantuan serta subsidi petrol.

Anwar turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempertahankan subsidi bagi golongan T15, sedangkan pendapatan mereka ada mencecah RM100,000 hingga RM1 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan