AM

Aktiviti Potong Pokok Punca Operasi Tren KTM, ETS Terjejas Pada Jumaat

28/10/2024 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Aktiviti memotong pokok oleh pihak ketiga berhampiran landasan kereta api mengakibatkan alat talian atas terputus sehingga menyebabkan gangguan operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Jumaat lepas. 

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi satu kenyataan berkata kejadian sekitar 2.45 petang itu menyebabkan laluan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang mengalami kelewatan melebihi 120 minit dengan penggunaan satu landasan sahaja di laluan berkenaan bagi mengatur pergerakan tren secara bergilir.

Berikutan gangguan itu, sebanyak 13 tren ETS mengalami kelewatan pada hari berkenaan dengan jumlah penumpang seramai 3,480 orang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Taha berkata kesemua penumpang  dimaklumkan melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) mengenai gangguan berkenaan dan mereka boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh sekiranya tidak meneruskan perjalanan dengan tren atau perbezaan tambang sekiranya perjalanan tidak lengkap.

Mohd Zain seterusnya memberitahu penumpang yang mengambil Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan sekiranya perjalanan itu mengalami kelewatan melebihi empat jam dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 1 300 88 1007 / 010 368 7829 atau e-mel kepada support@goinsure.com.my.

"KTMB sekali lagi memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas atas kesulitan yang dihadapi. Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB," katanya dalam kenyataan sama. 

Mohd Zain berkata kerja-kerja baik pulih selesai dijalankan pada 3.30 pagi hari Sabtu dan operasi perkhidmatan tren kembali seperti biasa pada 3.54 pagi.

"Sepanjang gangguan perkhidmatan, perkembangan terkini juga dimaklumkan melalui media sosial rasmi serta kakitangan juga ditempatkan di stesen dan anggota polis bantuan turut membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas," katanya.

Selain itu, Mohd Zain berkata Projek Menaik Taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 1 (KVDT1) yang bermula pada 2 Sept 2015 bagi laluan Rawang hingga Salak Selatan kini telah mencapai 99.13 peratus siap.

Beliau berkata Projek Menaik Taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) yang dimulakan pada 29 Julai 2022 dan merangkumi laluan Bangi ke Seremban serta Simpang Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Klang masih di peringkat awal dengan kemajuan setakat ini mencecah 25.5 peratus. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan