AM

Kopitam Di Melaka Berdepan Tindakan Pendakwaan Naikkan Harga Sebanyak Tiga Kali

28/10/2024 06:44 PM

ALOR GAJAH, 28 Okt (Bernama) -- Sebuah kopitiam di Batu Berendam di sini bakal berdepan tindakan pendakwaan kerana dikesan menaikkan harga minuman sebanyak tiga kali hingga 70 peratus dalam tempoh tidak sampai setahun.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Norena Jaafar berkata satu notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak kopitiam tersebut bagi menilai sekiranya berlaku elemen pencatutan, pada 22 Okt lepas.

Beliau berkata pihak kopitiam itu diberi tempoh 15 hari hingga 5 Nov  ini untuk menjawab notis bertulis yang dikeluarkan KPDN Melaka.

"Siasatan dijalankan berdasarkan aduan pelanggan tetap kopitiam itu dan memang berlaku kenaikan harga sebanyak tiga kali dalam tahun ini sahaja dan setiap kenaikan yang berlaku adalah hingga 70 peratus.

"Antara alasan kenaikan harga yang diberikan pihak kopitiam ialah pelaksanaan harga minimum dan kenaikan harga bahan mentah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Tinjauan Mesra sempena Pelaksanaan Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2024 di sebuah pasar raya yang dilancarkan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

Norena berkata alasan yang diberikan pihak kopitiam terbabit tidak munasabah dan pihaknya memandang serius sebarang tindakan mengambil keuntungan dengan sengaja.

Beliau berkata pelanggan di semua premis makanan atau minuman yang mengesan tindakan pengusaha menaikkan harga secara tidak munasabah diminta untuk membuat aduan bagi tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 764 Jualan Rahmah dianjurkan di sekitar negeri ini dengan kutipan jualan RM23 juta dar 1 Jan hingga 30 Sept lepas.

Beliau berkata pelaksanaan jualan yang bertujuan membantu meringankan kos sara hidup khususnya golongan B40 itu melibatkan pelbagai premis jualan termasuk di pasar raya dan kedai runcit  bagi memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

"Dengan peruntukan berjumlah RM300 juta bagi Program Payung Rahmah dalam Belanjawan 2025 berbanding RM200 juta pada tahun lepas, KPDN Melaka menyasarkan peningkatan program itu kira-kira 200 peratus berbanding sepanjang tahun ini.

"Lebih banyak agensi dan usahawan akan dilibatkan pada tahun hadapan agar penganjurannya dapat diperluaskan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan