EKONOMI

McDonald's Malaysia Perluas Perniagaan Di Sabah, Buka Restoran Baharu Di Tuaran

28/10/2024 08:46 PM

TUARAN, 28 Okt (Bernama) -- McDonald's Malaysia terus mengorak langkah memperluas operasi perniagaannya di Sabah dengan membuka satu lagi restoran baharu iaitu McDonald's Pandu-Lalu Tuaran Town di sini.

Pembukaan cawangan baharu itu menjadikan McDonald’s Malaysia memiliki 22 restoran yang beroperasi di seluruh Sabah dengan kira-kira 800 kakitangan setakat ini dan ia seiring dengan komitmen untuk membuka 36 restoran di Negeri Di Bawah Bayu menjelang 2030.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata lokasi McDonald's Tuaran Town sangat strategik kerana terletak di jalan utama yang mudah dikunjungi orang ramai termasuk pelancong selain bersebelahan stesen minyak serta tidak jauh dari kawasan kediaman, hospital serta institusi pendidikan.

Beliau berkata pihaknya berharap rangkaian restoran makanan segera itu mampu memperluaskan lagi penyampaian 'Delicious Feel-Good Moments' atau kenangan terindah kepada pelanggan seterusnya menjadikan ia pilihan utama masyarakat Tuaran.

"Pembukaan restoran baharu bukan sekadar memanfaatkan McDonald’s Malaysia, ia juga membuka peluang pekerjaan mahupun perniagaan baharu kepada rakyat dan syarikat tempatan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian restoran itu di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya, yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, merasmikan pembukaan restoran baharu itu sebagai mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas lanjut, Azmir berkata McDonald’s Malaysia telah merancang perjalanan perniagaan yang jelas untuk memiliki 450 restoran di seluruh negara menjelang 2030 dan tidak hanya memfokus kepada kawasan di Semenanjung tetapi juga Sabah.

Beliau berkata Sabah adalah lokasi yang amat penting untuk McDonald's Malaysia kerana ia bakal menjadi hab terpenting bagi perniagaan restoran makanan segera itu di Borneo.

Mengenai perancangan tahun depan, Azmir berkata pembukaan tiga restoran McDonald’s bakal menjadi tumpuan iaitu di Jalan Lintas, Putatan dan satu lagi yang akan diumumkan kelak sekali gus mewujudkan hampir 200 peluang pekerjaan.

"Selain peluang pekerjaan baharu, kami komited untuk melahirkan tenaga kerja mahir. Para belia diberi peluang menceburi kerjaya dan maju bersama kami melalui Akademi Vokasional McDonald’s.

"Lebih 5,000 belia telah menamatkan latihan di akademi dan kini berjaya bersama McDonald’s Malaysia termasuk lebih 500 perantis dalam kalangan orang Sabah," katanya.

Pada majlis itu, McDonald's Malaysia turut menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2024 berjumlah RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Pada masa sama, McDonald's Malaysia bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia menyumbang 1,300 pek kembali ke sekolah kepada murid daripada keluarga kurang berkemampuan.

Sementara itu, beberapa pelanggan McDonald's yang ditemu bual oleh Bernama gembira dengan pembukaan cawangan baharu restoran tersebut di Tuaran kerana lebih dekat dan menjimatkan masa.

Klimintina Roman, 57, yang bekerja sebagai setiausaha, berkata kesemua tujuh cucunya gemar menikmati produk McDonald's dan sebelum ini, mereka terpaksa ke Kota Kinabalu untuk mendapatkannya.

"Cawangan baharu ini menjimatkan masa kerana dekat. Makanan di sini sedap," katanya.

Shazihah Asrin, 28, pula berkata pembukaan cawangan itu tidak hanya memudahkan penggemar McDonald's seperti beliau untuk mendapatkan pelbagai pilihan makanan pada harga yang berpatutan tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia seterusnya membantu menjana ekonomi setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan