EKONOMI

Sentimen Berhati-hati, Pemilihan Presiden AS Dorong Bursa Ditutup Rendah

28/10/2024 06:54 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih rendah dalam persekitaran berhati-hati berikutan minggu yang sarat dengan pengumuman data ekonomi serta kebimbangan berterusan mengenai pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS).

Ketidaktentuan itu turut dipengaruhi oleh prospek kadar faedah serta krisis geopolitik di Timur Tengah yang terus meruncing.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.83 mata atau 0.48 peratus kepada 1,610.47 daripada 1,618.30 pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 4.04 mata pada 1,622.34 dan bergerak turun naik pada julat 1,609.87 manakala tertinggi 1,630.39 dalam sesi hari ini.

Pasaran meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 782 berbanding 294 manakala 484 kaunter tidak berubah, 942 tidak didagangkan dan 30 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.45 bilion unit bernilai RM2.21 bilion daripada 2.47 bilion unit bernilai RM2.14 bilion pada Jumaat lepas.  

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan ditutup rendah walaupun mencatat prestasi positif jika dibandingkan dengan pasaran serantau yang didahului oleh pasaran Jepun.

"Susulan daripada keadaan Parlimen Jepun kehilangan majoriti oleh parti pemerintah, pelabur membuat spekulasi bahawa ketidakpastian ini boleh menghalang Bank of Japan daripada menaikkan kadar faedah," katanya.

Dalam pada itu, saham-saham Hong Kong juta merosot ketika pelabur masih dalam proses menerima prospek berkaitan langkah rangsangan China.

Kongres Rakyat China pula dijadual bermesyuarat pada 4-8 November ini bagi membincangkan dasar kewangan, pengurusan aset dan pindaan undang-undang dengan pelabur berharap ini turut membabitkan kemas kini mengenai terbitan bon dan pinjaman kerajaan.

Thong berkata pelabur turut menumpukan pengumuman mengenai Indeks Perbelanjaan Peribadi AS dan bayaran gaji bukan perladangan pada minggu ini.

Di sebalik sentimen pasaran yang berhati-hati, beliau percaya aktiviti memburu saham-saham berharga rendah di pasaran domestik akan terus wujud, didoorong oleh penilaian saham tempatan yang menarik dan sokongan berterusan daripada institusi.

“Kami menjangkakan indeks penanda aras akan bergerak mendatar dengan cenderung meningkat pada julat  1,610-1,630 pada minggu ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata kekurangan pemangkin yang ketara menyebabkan pelabur asing bertindak melakukan jualan bersih.

“Ini ditambah lagi dengan pemilihan presiden AS pada 5 November ini yang menyaksikan sentimen pasaran kekal berhati-hati dan menyebabkan penggiat mengambil pendirian untuk bertahan daripada melakukan pembelian,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional susut 38 sen kepada RM14 manakala IHH, Maybank dan Sunway masing-masing merosot 14 sen kepada RM7.36, RM10.40 dan RM4.32 selain CIMB turun 10 sen kepada RM8.02.

Sorento Capital yang baru disenaraikan menokok setengah sen pada 37.5 sen manakala Ingenieur Gudang dan MyEG masing-masing rugi setengah sen kepada 4.5 sen dan 88 sen, Lotus KFM turun satu sen pada 20 sen dan Northeast Group naik 3.0 sen kepada 61.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 61.78 mata kepada 12,158.84, Indeks FBMT 100 susut 54.47 mata kepada 11,867.47 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 64.80 mata kepada 12,135.18.

Indeks FBM ACE berkurangan 60.62 mata kepada 5,040.39 manakala Indeks FBM 70 merosot 68.96 mata kepada 17,645.71.

Bagi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 136.61 mata kepada 19,125.42, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.71 mata kepada 175.01 dan Indeks Tenaga berkurangan 8.96 mata kepada 837.57 namun Indeks Perladangan naik 10.71 mata kepada 7,310.29.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.27 bilion unit bernilai RM1.94 bilion daripada 1.41 bilion unit bernilai RM1.92 bilion.

Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 683.45 juta unit bernilai RM94.25 juta daripada 674.42 juta unit bernilai RM94.25 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 500.44 juta unit bernilai RM183.05 juta berbanding 385.05 juta unit bernilai RM125.46 juta sebelum ini.

Dalam pada itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 244.69 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (263.63 juta), pembinaan (114.34 juta), teknologi (151.60 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (104.89 juta), hartanah (144.70 juta), perladangan (33.89 juta), REIT (13.92 juta), dana tertutup (156,100), tenaga (56.59 juta), penjagaan kesihatan (36.65 juta), telekomunikasi dan media (19.24 juta), pengangkutan dan logistik (28.49 juta), utiliti (55.01 juta) dan amanah perniagaan (10,500).

-- BERNAMA   

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan