AM

Tunku Azizah Zahir Penghargaan Kepada KPM Pilih Kg MADANI Betau, Perkasa Pendidikan Orang Asli

30/10/2024 09:32 AM

LIPIS, 29 Okt (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), atas pemilihan Kampung MADANI Betau dalam usaha memperkasakan pendidikan Anak Orang Asli serta memastikan kumpulan minoriti itu tidak keciciran dalam pendidikan. 

Baginda bertitah ucapan terima kasih itu juga, turut dizahirkan kepada kerajaan negeri yang telah mewujudkan satu pusat tenunan Diraja di Perkampungan Orang Asli di Pos Betau, yang membantu ke arah meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat peribumi di negeri ini. 

“Apa yang menggembirakan saya, usaha berterusan memberikan latihan kepada anak-anak masyarakat orang kita dengan kemahiran menenun ini, telah berjaya membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak masyarakat orang kita, meningkatkan pendapatan keluarga dan kemahiran.

“Melalui inisiatif peningkatan pendidikan, saya telah dimaklumkan bahawa negeri Pahang, sentiasa berusaha memastikan tiada dalam kalangan anak-anak orang kita tercicir dalam arus pendidikan,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah demikian semasa berangkat ke Program Sejambak Kasih Peribumi Jiwa MADANI di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini hari ini.

Titah diraja Tunku Azizah dibacakan oleh anakandanya Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengharapkan semua pihak dan agensi berkaitan memberikan sokongan padu dalam memastikan pendidikan Orang Asli berjaya, Tunku Azizah bertitah Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGMKTAA) memainkan peranan penting ke arah itu. 

Sejak diwujudkan pada 2008, baginda bertitah pusat kecemerlangan pedagogi di IPG tesebut perlu meneruskan kecemerlangan mendidik anak masyarakat peribumi, selain turut menaruh keyakinan supaya Ambilan Khas guru dalam kalangan Orang Asli terus dipertingkatkan.

“Saya juga dimaklumkan mengenai kecemerlangan pusat ini dalam memberikan khidmat kepakaran bukan sahaja kepada murid-murid dari segi motivasi, kemahiran belajar, program dengan ibu bapa tetapi juga kepada guru yang mengajar di sekolah orang kita yang berjumlah 29 buah di Pahang, juga diberikan kursus secara berterusan.

“Sehubungan itu, program hari ini bukan sahaja sebagai satu langkah memperkukuh hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat, tetapi juga sebagai wadah penting kepada kita semua untuk mengenali lebih mendalam tentang nilai-nilai yang menjadi teras kehidupan masyarakat orang kita,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah keunikan warisan, adat, budaya serta bahasa masyarakat peribumi merupakan kekayaan yang perlu dipelihara, dijaga dan dipertahankan serta diangkat sebagai cerminan sejarah, identiti dan jati diri masyarakat Malaysia.

Mengharapkan lebih banyak penyelidikan, penulisan berkaitan masyarakat Orang Asli, baginda turut menginginkan usaha pemerkasaan itu terus dipertingkatkan dengan penyediaan kemudahan serta dana untuk tujuan khidmat bantu, perkongsian ilmu, penerbitan bagi memastikan pusat tersebut terus cemerlang. 

“Mudah-mudahan satu masa nanti, akan wujud bandar-bandar baharu sebagai bandar berkonsepkan malar hijau, yang dibangunkan dengan teknologi digital perkampungan budaya orang kita nun di Jajaran Titiwangsa, hasil usaha kita membudayakan nilai ilmu dalam memanusiawikan manusia orang kita.

Sementara itu, Rektor IPGM Dr Mohd Azam Ahmad dalam ucapannya berkata peranan yang dipertanggungjawabkan  di IPGM melalui IPGMKTAA, adalah amat bermakna dalam melahirkan guru-guru Ambilan Khas Orang Asli dan Peribumi. 

“IPGMKTAA telah melatih seramai 319 pelajar Ambilan Khas Orang Asli yang bermula pada 2010 sehingga tahun ini. Jumlah ditempatkan di 98 buah sekolah Orang Asli dan sekolah harian biasa yang mempunyai anak-anak didik masyarakat Orang Asli adalah seramai 161 orang sehingga Oktober 2024.

“…(yang) sedang mengikut pengajian adalah seramai 158 orang. Daripada keseluruhan pecahan ambilan khas guru bermula 2010, Pahang telah melahirkan hampir 110 calon guru ambilan khas sama ada yang telah ditempatkan dan yang sedang mengikuti pengajian di IPGMKTAA,” katanya.

Pada program sama, Tunku Azizah bersama Tengku Hassanal turut berkenan melawat pameran dan pertandingan masakan rimba, selain mengurniakan hadiah kepada pemenang bagi pertandingan yang diadakan sempena majlis berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan