AM

Peruncit Dikesan Jual Minyak Masak Peket Bersubsidi Kepada Warga Asing

29/10/2024 06:58 PM

ALOR GAJAH, 29 Okt (Bernama) -- Seorang pengusaha kedai runcit berdepan tindakan undang-undang selepas dikesan menjual minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing, ketika Operasi Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Op Kita Gempur) di Kelemak, di sini hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata peniaga berusia 40-an itu, memberi alasan terpaksa menjual barangan bersubsidi itu kerana warga asing yang juga pengusaha kedai makan pelanggan tetapnya.

“Perbuatan individu itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana minyak masak peket adalah bagi kegunaan isi rumah dan bukan tujuan komersial seperti perniagaan restoran.

“KPDN Melaka juga memberi amaran keras kepada mana-mana pengusaha kedai runcit supaya tidak mementingkan keuntungan semata-mata, dengan menjual (barangan bersubsidi) lebih daripada had dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas Op Kita Gempur di Taman Mewah, Kelemak.

Norena berkata pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik kedai makan yang disyaki menggunakan minyak masak peket untuk perniagaan.

Beliau berkata pemeriksaan pihaknya mendapati segelintir pengusaha premis makanan menggunakan helah menyimpan minyak peket ke dalam botol berkapasiti lima kilogram, bagi mengaburi pihak berkuasa.

“KPDN Melaka akan terus melakukan pemutihan secara agresif dalam Op Kita Gempur, bagi mengesan pengusaha kedai runcit yang masih menyebabkan ketirisan terhadap bekalan minyak masak peket bersubsidi ini.

“Sebelum ini kita menjalankan pemeriksaan di peringkat pembekal membabitkan 237 pemborong dalam Op Kita Gempur dan mengesan lapan kesalahan, antaranya menjual minyak masak peket iaitu barangan kawalan kepada peniaga yang tidak berdaftar dan lain-lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan