AM

GISBH: 424 Kanak-Kanak Ikuti Program Pemulihan Dinilai Daripada Semasa Ke Semasa

29/10/2024 08:50 PM

SHAH ALAM, 29 Okt (Bernama) -- Seramai 424 kanak-kanak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang sedang mengikuti program pemulihan di bawah pasukan khas kerajaan negeri, akan dinilai dari semasa ke semasa bagi menentukan perkembangan terkini keadaan mereka.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata sekiranya terdapat antara mereka yang masih dikategorikan sebagai kronik atau trauma, kanak-kanak itu akan diasingkan untuk mengikuti program atau kaedah pemulihan yang lain.

“Mereka (kategori kronik) akan diletakkan dalam kategori pemulihan lain berbanding anak-anak yang di tahap sederhana atau mild, itu yang kita nilai dari semasa ke semasa.

“Dari segi pelaksanaan, setakat ini program pemulihan berjalan dengan baik dan semua agensi kerajaan saling bekerjasama dalam memberikan bantuan berdasarkan skop kerja masing-masing,” katanya kepada pemberita pada program sesi minum petang 1 Tahun Anfaal Saari di sini hari.

Anfaal berkata ketika ini program pemulihan itu dijalankan mengikut empat kluster iaitu pendidikan, kebajikan, kesihatan mental dan  perundangan.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Selangor menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH.

Pasukan itu dianggotai wakil daripada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, pakar-pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak Yayasan MBI serta Yayasan Selgate. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan