AM

Ketua Polis Indonesia Dan Filipina Dahului Penerima DKPP Daripada Agong

30/10/2024 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Ketua Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo dan Ketua Polis Filipina Rommel Francisco D Marbil.

Dua pegawai tertinggi polis Indonesia dan Filipina itu mendahului 100 penerima pingat termasuk empat pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian (DKPP) Tahun 2024 yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di sini.

Seri Paduka Baginda turut mengurniakan PGPP kepada empat pegawai kanan PDRM iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin, Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman Datuk Samsudin Basir, Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar dan Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Mohd Roze Shaari.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Pada istiadat itu, Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis kepada lapan penerima, Pahlawan Pasukan Polis (18 penerima), Kesatria Pasukan Polis (10 penerima) dan Bentara Pasukan Polis (58 penerima).

Penganugerahan DKPP diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam perkhidmatan PDRM.

Hadir sama pada istiadat itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan