EKONOMI

Petros Peruntuk Perbelanjaan Modal RM40 Bilion Bagi Lima Tahun Akan Datang - Pengerusi

31/10/2024 10:14 AM

KUCHING, 31 Okt (Bernama) -- Petros, syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri Sarawak, memperuntukkan kira-kira RM40 bilion untuk perbelanjaan modal bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo.

Beliau berkata syarikat itu mencatatkan hasil berjumlah RM4 bilion tahun lalu dan angka ini diunjurkan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Petros kini menyertai dalam 19 kontrak perkongsian pengeluaran secara kerjasama dengan pemain utama minyak dari beberapa negara dan ini juga dijangka turut berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-7 Petros, di sini, malam tadi.

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hamid berkata sejak dilancarkan pada 7 Ogos, 2017, Petros telah berkembang sebagai pemain bersepadu, aktif menyertai seluruh rantaian nilai minyak dan gas, menyelaras usaha untuk memperkasa pembangunan ekonomi sosial di Sarawak.

Beliau berkata di bawah pelan hala tuju gasnya, Petros sedang membangunkan empat hab strategik di Kuching, Miri, Bintulu dan Similaju, dengan potensi pelaburan sebanyak RM100 bilion bagi tempoh beberapa tahun akan datang, dan bersama-sama Petronas, menjadi pengedar tunggal gas petroleum cecair di Sarawak.

“Kami juga membelanjakan sebanyak RM4.7 juta pada 2023 untuk inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat kami dan jumlah yang hampir sama pada 2024, sebahagian besarnya untuk pendidikan dan kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan