AM

Kerajaan Tidak Kompromi Keselamatan Rakyat Di Media Sosial - Fahmi

31/10/2024 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan tidak boleh memberikan lebih masa untuk pelesenan media sosial dalam usaha menangani jenayah di platform tersebut, termasuk pedofilia dan aktiviti penipuan, tegas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata isu keselamatan rakyat, terutama kanak kanak dan keluarga di media sosial yang semakin berleluasa tidak boleh dikompromi.

“Pihak Meta meminta lebih banyak masa untuk membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial, tetapi sejujurnya, kita (kerajaan) tidak boleh memberikan lebih masa.

“Kita menerima aduan daripada orang awam mengenai kewujudan kumpulan pedofilia dalam Facebook, yang jumlahnya telah mencecah puluhan ribu orang kerana beroperasi bertahun-tahun lamanya.

“Jadi, saya tidak faham mengapa mereka (Meta) mahu mempertahankan kumpulan scammer dan pedofilia ini. Kita sudah mengarahkan supaya platform media sosial dilesenkan, jadi berikan sahaja lesen itu,” katanya ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di sini hari ini.

Fahmi mengulas pertemuannya bersama pihak Meta semalam, di mana beliau menegur syarikat tersebut kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), khususnya di platform Facebook.

Mengulas lanjut hari ini, Fahmi berkata perbincangan mengenai langkah menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak kanak telah dilakukan sejak awal tahun, dan beliau sendiri telah pergi ke Singapura untuk bertemu dengan pihak Meta.

“Untuk mengatakan kita tidak pernah berbincang dengan mereka adalah satu penipuan. Kita sudah berbincang, dan saya telah turun ke Singapura untuk bertemu mereka, tetapi mereka memberikan pelbagai alasan.

“Bagi saya, keselamatan rakyat Malaysia, terutama kanak-kanak dan keluarga, tidak boleh kita kompromi dalam hal ini,” katanya.

Pada Ogos, Fahmi memaklumkan berdasarkan garis panduan yang dibina bersama dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Jan 2025 boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 126 akta tersebut.

Beliau berkata kerajaan menegaskan pelesenan media sosial hanya terpakai untuk pengendali platform dan bukannya kepada pengguna atau pempengaruh.

Mengenai sambutan Deepavali, Fahmi berharap ia dimanfaatkan untuk merapatkan hubungan silaturahim dan ukhuwah yang telah lama terjalin antara rakyat. 

Katanya walaupun terdapat perbezaan  agama, fahaman dan pandangan politik, ia tidak bermaksud rakyat di negara ini tidak boleh bersatu hati.

“Kita lihat ramai daripada pelbagai kaum dan agama hadir untuk meraikan dan menyambut bersama perayaan ini dalam suasana yang harmoni, aman damai dan permai. Inilah semangat perpaduan yang kita ingin pupuk di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan