DUNIA

Jeti Roboh Di Maluku, Indonesia Ragut Lapan Nyawa

31/10/2024 07:47 PM

JAKARTA, 31 Okt (Bernama) -- Sebuah jeti yang diperbuat daripada konkrit dan kayu di wilayah Maluku runtuh pada petang Rabu semasa kempen pilihan raya tempatan, mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan 11 yang lain.

Kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang waktu tempatan di Hatta, Kepulauan Banda, ketika rombongan yang diketuai oleh seorang daripada calon pegawai daerah Andi Munaswir sedang dalam perjalanan untuk berkempen bagi pilihan raya tempatan yang bakal diadakan.

Menurut Polis Maluku Tengah, Munaswir dan pasukannya baru sahaja turun daripada bot laju dan sedang berjalan di atas jeti untuk bertemu penduduk tempatan apabila sebahagian struktur itu tiba-tiba runtuh.

“Tidak lama kemudian, jeti itu runtuh,” kata jurucakap Inspektor Antony Kolauw dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rombongan berkenaan telah disambut dengan tarian tradisional oleh masyarakat setempat sebelum kejadian.

Ketika jeti runtuh, Munaswir, rombongan pengiringnya, dan para penyokong terjatuh ke dalam laut dengan beliau mengalami kecederaan ringan manakala beberapa yang lain terperangkap di bawah runtuhan.

Pihak berkuasa mengesyaki runtuhan itu mungkin berpunca daripada bebanan berlebihan.

Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

Indonesia dijadual mengadakan pilihan raya serentak bagi ketua wilayah pada 27 November, termasuk pemilihan gabenor, pegawai daerah dan datuk bandar.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan