FOKUS BERNAMA

Berat Untuk Menyimpan, Berisiko Kemiskinan Hari Tua

01/11/2024 11:54 AM

Babs (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pemandu e-hailing walaupun sudah berusia 60-an.

Wanita ini tinggal di rumah sendiri bersama-sama suaminya, sementara anak-anak pula telah dewasa dan tidak lagi tinggal dengan mereka. Buat masa sekarang kesihatannya baik dan dia menjadi pemandu e-hailing bagi mengisi tabung simpanan yang sudah kosong.

Apabila ditanya tentang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dia mencebik sebelum menjawab: “Dah lama habis.”

Bersikap ceria serta jenis berdikari, namun Babs sedar masanya semakin suntuk dan dia bimbang suatu hari nanti akan tiba masa dia perlu bergantung pada orang lain walaupun hanya untuk perkara mudah. Kerisauan menyelubunginya apabila memikirkan suatu hari nanti dia tidak lagi mampu membeli barang keperluan asas.  

“Perlu mula menyimpan dari sekarang. Pastikan kamu ada duit (untuk kegunaan selepas bersara),” katanya kepada Bernama. 

Babs tidak bersendirian berdepan hidup dalam kemiskinan pada hari-hari tua. Kemiskinan semasa tua merupakan ancaman besar, bukan hanya buat rakyat Malaysia yang bersara atau akan bersara, tetapi juga keluarga mereka. Keadaan ini tidak menjanjikan masa depan yang cerah untuk negara ketika populasi warga emas sedang meningkat dan saiz sumber manusia pula menguncup.

Setakat Ogos lalu, Malaysia mempunyai 3.9 juta rakyat berusia 60 tahun dan ke atas, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Jumlah ini merangkumi 11.8 peratus daripada populasi. Warga emas berusia 65 tahun ke atas berjumlah 2.6 juta orang atau 7.7 peratus daripada keseluruhan penduduk, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara menua. Bank Dunia mengunjurkan negara ini akan berstatus negara menua dengan 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas menjelang 2040.

pic-3

Pada Persidangan Kebangsaan Mengenai Penuaan (NCA) 2024 di Putrajaya baru-baru ini, peserta membincangkan isu dan membentangkan kajian berkaitan penuaan, antaranya sama ada persiapan dari segi kewangan dan sokongan sosial memadai bagi memenuhi keperluan penduduk berusia lanjut.

Jawapannya tidak.

“Golongan kelas pertengahan akan menjalani hari tua mereka dalam kemiskinan,” kata Rashidi Yahya, Pengerusi KENDANA Malaysia, iaitu sebuah pertubuhan yang mewakili pengasuh dan pemberi jagaan, kepada Bernama.

Dengan kata lain, hidup lama tidak bermakna kehidupan lebih baik.

 

TIADA PERUBAHAN

Tidak betul jika penyelesaian isu kemiskinan warga tua ini diserahkan kepada kerajaan semata-mata. Walaupun ada dasar yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu, pakar berkata tanggungjawab itu terpikul  di bahu rakyat sendiri untuk melakukan persiapan menghadapi hari tua.

Akan tetapi perkara itu amat sukar dilakukan.

Tinjauan Agenda Strategik Persaraan yang dikeluarkan pada 22 Okt, mendapati responden tidak mengambil serius berhubung tabung persaraan. Kajian yang dijalankan oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan kumpulan pemikir Universiti Putra Malaysia (UPM) MyAgeing itu melibatkan 6,252 bakal pesara dan 1,075 penerima pencen sektor kerajaan. 

Ketua projek Dr Rosmah Mohamed, seorang pakar ekonomi di UPM, memberitahu Bernama bahawa satu daripada dapatan yang menarik perhatian beliau ialah sikap terhadap persaraan tidak berubah, iaitu sama seperti hasil kajian tentang persiapan persaraan yang dijalankan sebelum ini. Hanya 19 peratus memberitahu menyimpan secara tetap, 54 peratus lagi menyimpan sekali-sekala, sementara bakinya langsung tidak menyimpan.

“Kajian terakhir dijalankan pada 2017, jadi dalam tempoh tujuh tahun sikap masih sama,” katanya, menambah responden menyenaraikan perbelanjaan asas, pembayaran balik hutang serta pendidikan anak-anak sebagai tiga punca utama mereka tidak dapat menyimpan secara kerap. 

pic-2

Ketiadaan kesedaran tentang persaraan ini turut dicerminkan dalam kajian lain berhubung sikap pekerja Malaysia, bukan hanya penjawat awam. Survei oleh Bank Pembangunan Asia-Universiti Malaya yang diterbitkan pada 2023, menemukan hampir dua pertiga rakyat Malaysia tidak mengutamakan simpanan bagi persaraan, dengan 26 peratus berkata mereka mungkin perlu bekerja sampai mati.

Pencen umumnya untuk penjawat awam, namun bagi mereka yang bekerja di sektor swasta atau pekerja bukan skim pencen, mereka akan melakukan persiapan menghadapi persaraan menerusi KWSP. Institusi ini membayar dividen dijamin sekurang-kurangnya 2.5 peratus setahun bagi setiap simpanan pencarum.

Akan tetapi, penularan pandemik mengakibatkan lebih 90 peratus pencarum KWSP bawah usia 30 tahun tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk mencapai sasaran RM240,000 menjelang usia 55 tahun, demikian menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah “Keadaan Isi Rumah 2024: Isi Rumah dan Pandemik 2019-2022”.

Kajian itu juga mendapati lebih 52 peratus pencarum KWSP bawah usia 55 tahun mempunyai simpanan tidak sampai RM10,000 dan lebih 25 peratus bawah 55 tahun memiliki simpanan kurang daripada RM1,000.

Meskipun begitu, realitinya pandemik hanya menambah keterukan keadaan sedia ada. Survei oleh Bank Negara Malaysia pada 2017 mendapati hanya 40 peratus rakyat Malaysia bersedia dari segi kewangan bagi menghadapi persaraan, dan lebih daripada 75 peratus mengakui sukar untuk mereka menyimpan RM1,000 sebagai keperluan kecemasan. 

pic-6

 

YAKIN TIDAK BERTEMPAT

Di sebalik jumlah simpanan yang rendah dan risiko pada masa depan, Rosmah berkata kebanyakan responden dalam kajian KWAP itu tidak gusar. Penemuan tersebut mengulangi hasil survei HSBC yang dijalankan pada 2013 tentang sikap rakyat Malaysia terhadap persaraan. 

“(Penjawat awam) tidak begitu bimbang tentang simpanan kerana mereka yakin akan menerima pencen,” katanya.

Pencarum KWSP juga mempunyai sikap serupa, demikian menurut kajian yang dijalankan oleh Park and Estrada pada 2012, yang mendapati ketersediaan mekanisme menyimpan secara paksa dalam skim penjawat awam dan KWSP merupakan satu faktor rakyat Malaysia berasa tidak perlu menyimpan untuk persaraan.

Sikap sebegini membimbangkan pakar kerana ramai yang bagaikan tidak sedar betapa tingginya kos kehidupan sebagai warga tua. Kebanyakan bakal pesara juga mengharapkan anak-anak yang telah dewasa dapat membantu termasuk menjaga mereka semasa hari tua, tanpa memikirkan bahawa anak-anak mereka juga perlu menyimpan untuk persaraan mereka sendiri.

Rosmah berkata walaupun dari segi budaya rakyat Malaysia diharapkan menjaga ibu bapa mereka, harapan sedemikian bukan sesuatu yang bijak. 

pic-4

“Kita semua cakap ‘anak-anak kena bantu,’ sebenarnya tidak. Tak boleh ada fikiran macam itu. Buat anggapan anak-anak tak ada, tak boleh tolong, jadi kita kena siapkan sendiri,” katanya.

Pengarah MyAgeing Prof. Madya Dr Rahimah Ibrahim bersetuju, dan berkata keadaan itu mungkin turut mengheret keluarga anak-anak ke kancah kemiskinan. Lagipun anak-anak juga tidak sentiasa dapat membantu memenuhi keperluan perubatan dan kewangan warga emas.

“Kebanyakan kita lazimnya dalam keadaan tidak bersedia apabila ada ahli keluarga jatuh sakit, dan tiba-tiba mereka jadi penjaga. Keadaan ini akan menekan mereka kerana tidak ada simpanan kecemasan untuk penjagaan jangka panjang,” katanya.

“Keadaan ini akan menjadi beban amat besar kepada keluarga,” tambah beliau dan menjelaskan, antaranya orang tua berisiko tinggi mengalami kecederaan. 

Sekali terjatuh sudah menelan belanja ribuan ringgit selain boleh menjejaskan pergerakan mereka. 

Bagi yang mengalami dimensia pula, risiko untuk terjatuh lebih tinggi, bererti memerlukan kos lebih besar selain beban penjagaan mereka. 

Lebih-lebih lagi tidak ramai anak-anak yang mempunyai latihan perubatan bagi memenuhi keperluan ibu bapa mereka, sekali gus berisiko memburukkan lagi keadaan.

Ramai tenaga kerja, majoritinya wanita, terpaksa berhenti kerja bagi menjaga ibu bapa yang sakit dan ini mengurangkan pendapatan isi rumah. 

Selain itu, bagi memastikan kediaman mereka selamat untuk warga emas, mereka terpaksa melakukan ubah suai dan ini juga menelan belanja. Walaupun kerajaan menyediakan bantuan kewangan bagi tujuan itu, bantuan hanya berdasarkan keperluan.

“Kalau dia rasa dia memerlukan bantuan, staf kami akan pergi tengok sama ada betul ke tak dia layak untuk menerima elaun. Setakat ini, kalau tak silap, jumlah elaun yang kita berikan kepada mereka berjumlah RM1.3 bilion. Bukan hanya untuk warga emas, tetapi keseluruhan,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri kepada Bernama di luar NCA 2024.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu Bernama yang mereka juga sedang berusaha menambah jumlah pusat jagaan dengan memanfaatkan bangunan kosong jika perlu. Masalahnya ialah mendapatkan persetujuan masyarakat yang mungkin tidak suka rumah atau premis mereka “berjiran” dengan pusat jagaan orang tua. 

Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peluasan pelepasan cukai kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa atau nenek dan datuk mereka, termasuk pembelian peralatan dan ubat-ubatan.

Kerajaan juga telah meluaskan liputan KWSP kepada mereka yang bekerja sendiri, suri rumah dan pekerja tidak formal. Bagaimanapun caruman adalah secara sukarela dan pengeluaran simpanan umumnya dibenarkan, menjadikan KWSP lebih kepada akaun simpanan, bukan pelaburan jangka panjang. 

pic-5

Menurut penyelidik kanan MyAgeing Chai Sen, cara kerajaan menyalurkan bantuan juga mungkin ada kesilapan kerana pengiraan hanya dibuat berdasarkan pendapatan isi rumah tanpa mengambil kira saiz dan keperluan isi rumah.

“Bila anda memohon bantuan, kerajaan kata pendapatan isi rumah mesti kurang daripada RM1,000. Akan tetapi, katakanlah isi rumah saya ada empat orang, manakala satu lagi isi rumah ada 10 orang. Adakah kita masih guna pengiraan pada aras RM1,000 itu?” soalnya. 

Pada akhirnya,  keadaan itu kata beliau menyebabkan orang tua berpencen tetapi tinggal bersendirian menerima bantuan kewangan yang lebih besar berbanding orang tua yang tingggal dengan keluarga dan mempunyai saiz isi rumah lebih besar. 

 

TIDAK BERSEDIA

Di Malaysia, kerajaan terpaksa berbelanja berbilion ringgit bagi membayar pencen. Tahun lepas, jumlah bayaran pencen ialah RM31 bilion. Kerajaan mengumumkan yang ia perlu mengeluarkan sekitar RM120 bilion pada 2040 jika trend itu berterusan.

Pakar mengeluarkan pandangan bercampur tentang saranan agar sistem pencen dimansuhkan kerana langkah itu bererti setiap orang bergantung pada KWSP untuk menghadapi persaraan. 

Rosmah yang tidak bersetuju dengan pemansuhan pencen, berkata kajian KWAP mengesyorkan agar masyarakat diberikan pendidikan tentang pengurusan kewangan. 

Selain itu, pakar juga mahu perubahan dilakukan kepada KWSP seperti larangan pengeluaran penuh pada usia 55 tahun, melainkan benar-benar perlu.

“Kita juga perlu (mewajibkan) orang ramai membuka akaun KWSP selepas mencapai usia tertentu,” kata Rashidi daripada KENDANA Malaysia.

pic-7

Beliau berkata KWSP juga harus menyediakan bayaran bulanan kepada pencarum, sepertimana skim pencen kerajaan.

Satu lagi syor ialah menyediakan insurans jangka panjang yang dapat membantu dari segi memenuhi keperluan penjagaan jangka panjang warga tua. Bagaimanapun kata pakar, tidak ada yang berminat untuk memperkenalkan skim itu, jika tiada campur tangan kerajaan.

Menekankan kepentingan menabung dari sekarang khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah, Rosmah berkata selain KWSP atau pencen, seseorang itu juga memerlukan simpanan peribadi bagi menjamin kehidupan lebih baik di hari tua.

“Tak kisahlah Tabung Haji ke, ASNB (Amanah Saham Nasional) ke, sekurang-kurangnya anda boleh guna wang lebih itu,” katanya.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan