AM

ECRL: Pagar Halangan Fizikal Elak Konflik Manusia-Gajah Dibina Di Hutan Simpan Kemasul

01/11/2024 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sepanjang Hutan Simpan Kemasul, Temerloh di Pahang akan melibatkan pembinaan pagar halangan fizikal gajah di kedua-dua landasan bagi mengelak konflik manusia-gajah di kawasan berkenaan.

Pemilik ECRL Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memaklumkan, perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati, pembinaan pagar itu perlu kerana jajaran di hutan simpan tersebut merentasi beberapa ladang pertanian dan kawasan pinggiran hutan, yang menjadi habitat kumpulan gajah.

“Pembinaan pagar halangan fizikal gajah merupakan salah satu kawalan mitigasi, bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan landasan kereta api ECRL, yang boleh menyebabkan kemalangan,” menurut kenyataan dikeluarkan MRL di sini hari ini.

MRL memaklumkan Perhilitan juga mengesyorkan supaya dami reka bentuk pagar itu dibina di lokasi sebenar bagi menguji ketahanan dan keberkesanan pagar, sebelum keputusan reka bentuk dimuktamadkan, yang dilakukan pada 23 Okt, dengan melibatkan dua ekor gajah.

Rakaman video gajah tersebut menolak struktur pagar, yang merupakan sebahagian daripada proses ujian ketahanan reka bentuk, tular di media sosial baru-baru ini.

MRL memaklumkan ECRL dan Perhilitan akan mengadakan perbincangan susulan dalam masa terdekat, berhubung dapatan ujian itu.

Kenyataan sama menyebut kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dan Perhilitan juga telah memeterai perjanjian tambahan, pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar  (Wildlife Management Plan) pada 2022 bagi menambah baik kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar.

Pembinaan jajaran sepanjang 665 kilometer (km) yang merentasi Pahang, Terengganu dan Kelantan juga melibatkan pembinaan 41 terowong, kira-kira 145km laluan bertingkat atau jejambat, serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi strategik bagi mengurangkan kesan alam sekitar dalam pembinaannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan