AM

Kimberly-Clark, FSC Seru Tindakan Global Mengenai Iklim, Biodiversiti Menjelang COP16, COP29

01/11/2024 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Kimberly-Clark menjalinkan kerjasama dengan Forest Stewardship Council (FSC) untuk menyeru dunia bertindak secara kolektif dalam menangani krisis iklim dan biodiversiti menjelang persidangan COP16 dan COP29. 

FSC baru-baru ini menutup tirai "Minggu Hutan FSC" kali ketiga, satu inisiatif tahunan yang berjaya melibatkan 1,300 rakan kongsi dan jenama terkemuka dari 40 negara dalam usaha menangani perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.

Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia dan Singapura Lim Yu Chien berkata usaha menangani perubahan iklim adalah tanggungjawab bersama.

“Menangani perubahan iklim bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata sama ada kerajaan, perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu – ia adalah tanggungjawab semua.

“Kami menyedari keperluan untuk tindakan kolektif bagi mencapai impak yang ketara selari dengan tema yang diketengahkan pada tahun ini. Oleh itu, setiap tahun kami meneroka kaedah baharu untuk melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan dalam sambutan Minggu Hutan FSC kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata sambutan Minggu Hutan FSC tahun ini yang ketiga dan terbesar bagi Kimberly-Clark yang menampilkan penyertaan daripada peruncit utama seperti 99Speedmart, AEON, dan Jaya Grocer.

Beliau berkata usaha ini memperkukuh lagi komitmen syarikat untuk melindungi alam sekitar dan menyokong komuniti. 

Kempen tahun ini yang bertemakan ‘Langkah Kecil Bersama Mencipta Perubahan Besar untuk Semua’, menyerlahkan kuasa tindakan kolektif dalam memacu perubahan positif bagi manusia dan planet  melalui pelbagai inisiatif termasuk penglibatan komuniti, korporat dan aktiviti berjalan di hutan.

Lim berkata kempen itu memperlihatkan bahawa perubahan yang memberi impak tidak semestinya memerlukan usaha berskala besar misalnya membeli produk diperakui FSC boleh memberikan sumbangan besar terhadap usaha melindungi hutan dan mereka yang bergantung kepadanya, tindakan ini penting dalam melindungi biodiversiti dan menangani perubahan iklim.

Di Asia, Kimberly-Clark menjalinkan kolaborasi dengan pejabat FSC tempatan untuk meraikan Minggu Hutan FSC yang melibatkan pekerja, rakan kongsi perniagaan dan peruncit melalui aktiviti seperti berjalan kaki di Taman Negara Sanjay Gandhi di Mumbai serta aktiviti membuat kompos, pertanian bandar dan menanam pokok di Kuala Lumpur dan Johor.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Antarabangsa FSC Trevor Armel berkata peningkatan krisis iklim dan biodiversiti memerlukan tindakan segera.

“Krisis iklim dan biodiversiti yang semakin memuncak memerlukan tindakan segera, dan inisiatif ini telah terbukti menjadi pemangkin kepada tingkah laku bertanggungjawab, memberikan inspirasi kepada orang ramai dan perniagaan untuk melindungi hutan kita dan memastikan masa depan yang mampan.

"Kami sangat teruja melihat pengaruh Minggu Hutan FSC yang semakin meningkat di peringkat global," katanya

Dengan kejayaan kempen tahun ini, FSC menyeru individu, perniagaan dan komuniti untuk terlibat dalam perbincangan penting mengenai krisis iklim dan biodiversiti serta membantu memacu peralihan ke arah mewujudkan planet yang lebih hijau dan sihat untuk semua.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan