SUKAN

MotoGP: Bagnaia Pecahkan Rekod Sepusingan SIC, Duduki Petak Pertama

02/11/2024 04:15 PM

SEPANG, 2 Nov (Bernama) --  Juara Dunia Francesco Bagnaia yang sekali lagi mencatatkan rekod baharu sepusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, akan memulakan perlumbaan Grand Prix Motoskal (MotoGP) Malaysia 2024 esok, di petak pertama.

Pada pusingan kelayakan hari ini, pelumba Ducati Lenovo Team itu yang pada suatu ketika ketinggalan di tempat kedua di belakang pendahulu kejuaraan semasa Jorge Martin dari Prima Pramac Racing, berjaya memecahkan rekod sepusingan yang dicatatkannya tahun lepas iaitu 1 minit 57.491 saat (s) pada pusingan terakhir, dengan catatan masa baharu 1:56.337s.

Martin yang akan memulakan perlumbaan esok di petak kedua selepas mencatatkan masa 1:56.553s, disertai Alex Marquez daripada Gresini Racing MotoGP  (1:57.275s) bagi melengkapkan grid hadapan.

Selain perlumbaan sebenar esok, keputusan hari ini menyaksikan semua pelumba menetapkan kedudukan mereka di grid untuk perlumbaan pecut yang dijadualkan diadakan petang hari ini.

Perlumbaan pecut yang diperkenalkan buat pertama kali dalam kelas perdana musim lepas, melibatkan separuh daripada jumlah pusingan berbanding perlumbaan sebenar esok.

Ia juga memberikan mata kejuaraan berlainan daripada perlumbaan sebenar, dengan 12 mata kepada pemenang dan berkurangan satu mata bagi setiap kedudukan akhir untuk sembilan pelumba terpantas.

Aksi Moto2 pula, menyaksikan pelumba OnlyFans American Racing Team Jorge Navarro, akan memulakan perlumbaan di petak utama selepas mencatatkan masa 2:04.412s pada sesi Kelayakan 2, meninggalkan rakan sepasukan Marcos Ramirez di tempat kedua (2:04.475s) manakala Celestino Vietti daripada Red Bull KTM Ajo di petak ketiga (2:04.559s).

Dua pelumba peluang khas mewakili Petronas MIE Racing RW Muhammad Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi terlibat dalam kemalangan pada selekoh 8 dan menamatkan sesi kelayakan pusingan 1 di tempat ke-15 (2:07.554s) dan ke-16 (2:07.570s).

Muhammad Helmi dan Khairul Idham akan memulakan perlumbaan di tempat ke-29 dan ke-30, esok.

Sementara itu kategori Moto3 pula menyaksikan Adrian Fernandez daripada Leopard Racing mencatatkan masa terpantas 2:09.542s dan akan memulakan daripada petak utama diikuti Ivan Ortola daripada MT Helmets - MSI di petak kedua (2:09.895s) dan David Alonso daripada CFMOTO Aspar Team di petak ketiga (2:10.015s).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan