AM

KKDW Akan Pastikan Projek Di Bawah RMK12 Di Sarawak Disiapkan

02/11/2024 07:20 PM

BETONG, 2 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memastikan semua projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Sarawak dilaksanakan sepenuhnya sebelum RMK13 bermula.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini dilakukan sebelum kerajaan pusat mengenal pasti projek baharu yang akan dimasukkan dalam RMK13.

"Sebagaimana yang pernah saya sebutkan bahawa jalan yang menyambungkan pekan atau bandar ke Lebuhraya Pan Borneo mesti diberikan keutamaan kerana kita mahu pembangunan itu melebar ke kawasan di perdesaan atau luar bandar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Enteri Lengkoi, Samu Ulu Paku, Spaoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid, juga Timbalan Perdana Menteri, berkata kerajaan pusat komited dalam memastikan pembangunan seimbang yang berterusan di semua wilayah di Malaysia.

Beliau berkata apa yang penting ialah jalinan kerjasama di antara kerajaan pusat dan negeri bagi memastikan pembangunan terus berlaku.

"Jalinan ini bukan hanya terdapat di dalam hubungan rasmi tetapi yang lebih penting adalah hubungan peribadi atau personal networking yang banyak membantu keselarasan bukan soal pembangunan sahaja tetapi juga berimbangan kemajuan di antara wilayah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan