AM

Johor Negeri Pertama Miliki Majlis Pembangunan Bakat Melalui Penubuhan JTDC - TPM

03/11/2024 08:03 PM

JOHOR BAHRU, 3 Nov (Bernama) -- Johor menjadi negeri pertama di Malaysia memiliki majlis pembangunan bakatnya sendiri melalui penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata inisiatif kerajaan negeri membangunkan JTDC adalah usaha yang tepat dalam membangunkan ekosistem tenaga kerja mahir di Johor.

Beliau berkata JTDC akan terus memperkasa ekosistem pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta menyediakan peluang kerjaya berkemahiran tinggi sekali gus merealisasikan pelaksanaan gaji premium di negeri itu khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kita melihat bahawa peluang pekerjaan yang ada di Johor hadapi persaingan… gaji minimum di Malaysia RM1,700 manakala di Singapura 1,500 dolar iaitu bersamaan dengan RM5,290.

“Maka apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor ialah menetapkan gaji premium bagi diploma bermula dengan RM4,000 manakala bagi ijazah RM5,000... saya mesti mengakui tidak ada negeri lain yang melakukannya setakat ini, (hanya) Johor yang lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan JTDC dan Karnival Kerjaya di sebuah pusat konvensyen di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara, berkata terdapat 100,000 peluang kerja di Johor ketika ini dengan 74,000 daripadanya adalah di JS-SEZ yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan daripada jumlah itu, hanya 52,000 telah diisi.

Onn Hafiz pula berkata JTDC akan menyelaras semula segala kursus pendidikan dan latihan di Johor agar selari dengan keperluan industri selain memperluas kerjasama dengan pihak industri dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam penyelidikan, penyediaan kelengkapan serta perkongsian kepakaran.

Beliau berkata JTDC juga berperanan memperbanyak skim penempatan kerjaya dan latihan industri secara terus serta berharap IPT di Johor akan menawarkan kursus pengajian yang dipacu oleh permintaan berbanding penawaran.

Karnival kerjaya tiga hari itu, yang bermula Jumaat lepas dan dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, menawarkan 15,000 peluang pekerjaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan