FOKUS BERNAMA

Meneroka Pesona Sumba , Pulau Hamparan Hijau Savana

04/11/2024 10:47 AM

Meskipun sudah hampir enam bulan berlalu, memori mengunjungi pulau ini masih segar untuk dikongsikan, selain memicu hasrat kembali ke sini suatu hari nanti.

Digelar Pulau Seribu Bukit lantaran muka buminya berbukit dan dilitupi hamparan savana - sejenis padang rumput - Pulau Sumba yang terletak di provinsi paling selatan Indonesia ini memiliki keindahan alam semula jadi yang unik dan masih terpelihara daripada pemodenan. 

Menghadap Lautan Hindi, pulau ini berjiran dengan Pulau Timor di sebelah timur serta benua Australia di bahagian selatan dan tenggara.

Rata-rata penduduk bekerja sebagai petani dan penternak, dengan sebahagian besar beragama Kristian selain mengamalkan pegangan nenek moyang mereka, dikenali sebagai Marapu. Begitupun ada penduduknya yang beragama Islam. 

Jujur tidak tahu akan kewujudan pulau ini, penulis yang tertarik dengan perkongsian sebuah ejen pelancongan di media sosial, menempah pakej lima hari empat malam untuk meneroka sendiri keistimewaan Pulau Sumba, pada Mei lalu.

 

NAIKI DUA PENERBANGAN  

Untuk tiba di pulau ini bukan mudah. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, penulis perlu ke Bali, Indonesia dan bermalam di situ agar dapat menaiki penerbangan domestik pagi dari Denpasar ke Waikabubak di Pulau Sumba.

pic-2

Ketika menunggu penerbangan ke Waikabubak di terminal domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar, penulis disapa oleh beberapa orang rakyat Malaysia. Rupa-rupanya ada  11 rakan senegara - kesemuanya wanita - menempah pakej sama dengan penulis.

Rombongan kami juga satu-satunya kumpulan rakyat Malaysia dalam penerbangan itu. 

Barangkali mengetahui kami dari Malaysia, beberapa orang penumpang yang memberitahu mereka penduduk Sumba, menyapa dan bertanya tentang tujuan kami ke pulau mereka.

“Selamat bergembira,” ucap mereka apabila diberitahu yang kami datang untuk melancong.

Penerbangan mengambil masa kira-kira satu jam.  Kami mendarat di Bandar Udara (Lapangan Terbang) Lede Kalumbang, sebuah lapangan terbang kecil di kabupaten (wilayah) Sumba Barat Daya. 

Ketibaan kami disambut oleh Erra, seorang rakyat Malaysia dan wakil agensi pelancongan The Fadaelo Project yang menguruskan perjalanan kami. 

 

KOPI DAN BISKUT GAJUS

Menaiki dua kenderaan utiliti sukan, rombongan kami dibawa ke destinasi pertama, sebuah kedai makan bagi mengisi perut yang mula berkeroncong. Hidangan mi ayam dan es jeruk kelapa (air kelapa dicampur asam limau kasturi bersama-sama ais) cukup menyegarkan.

Dalam perjalanan ke hotel, kami singgah  di Estet Talasi bagi menikmati kopi dan biskut gajus. Estet ini terkenal dengan pengeluaran kopi dan buah gajus.

pic-3

Di  situ, Erra memperkenalkan kami kepada Samat dan Jimi, dua warga Sumba yang akan menjadi pemandu dan jurugambar serta “pengawal peribadi” rombongan kami sepanjang pengembaraan. 

Selepas mendaftar masuk di hotel di Sumba Barat Daya, kami dibawa keluar semula. Kali ini destinasi kami ialah sebuah danau air masin, iaitu Danau Weekuri, bagi melakukan aktiviti air.

Sepanjang perjalanan, kami merentasi perkampungan dan keadaan rumah berbumbung tinggi  menarik perhatian kami. Samat yang menjadi pemandu kami, menjelaskan pada zaman dahulu makanan diletakkan di alang bumbung bagi memudahkan pengawetan menerusi asap di dapur. Bagi mengelakkan asap memenuhi bahagian dalaman rumah, maka atap ditinggikan.  

 

DANAU WEEKURI

Danau Weekuri wujud secara semula jadi akibat hempasan ombak Lautan Hindi ke tebing yang berbatu karang.

Perkataan weekuri itu merupakan bahasa Sumba dalam dua suku kata, iaitu “wee” bermaksud air dan "kuri” merujuk percikan. 

Menghadap laut yang terbentang luas, tasik ini destinasi wajib dikunjungi pelancong dengan airnya yang kebiru-biruan dan landskap indah, amat sesuai untuk merehatkan fikiran sekalipun sekadar bersantai di tebing berbatu.

Kumpulan kami bagaimanapun menghabiskan waktu petang hari pertama di Pulau Sumba dengan bermandi-manda di situ.

 

PANTAI MANDORAK 

Hari menghampiri senja ketika kami meninggalkan Danau Weekuri untuk ke destinasi seterusnya -  Pantai Mandorak - yang mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan.

pic-4

Kami tiba di pantai ini ketika remang senja, dengan matahari mula terbenam di ufuk barat melimpahkan rona jingga di permukaan Lautan Hindi, seolah-olah sedang menunggu kami untuk dibawa pulang sebagai memori.

Dua tebing batu yang saling menghadap, menjulur dari pantai ke laut secara melengkung seakan-akan ladam kuda, dengan hujungnya membentuk pintu gerbang. Kelihatan perahu nelayan melintasi “pintu gerbang” ini yang turut membingkaikan panorama senja, membuatkan kami terpegun dengan keindahan alam ciptaan-Nya.

Kami tidak melepaskan peluang untuk merakam keindahan itu yang entah bila dapat disaksikan lagi.   

Keriuhan suara kanak-kanak tempatan yang sedang bermain menarik perhatian kami. Ternyata mereka cukup peramah dan tidak segan untuk berbual dengan kami.

 

AIR TERJUN WAIKELO SAWAH 

Hari kedua di Sumba kami mulakan dengan mengunjungi Air Terjun Waikelo Sawah,  bendungan (empangan) air bertingkat yang mengalir dari sebuah gua kecil di kaki bukit.

Empangan kecil ini dibangunkan pada 1976 bagi menjana kuasa elektrik dan juga mengairi sawah padi di kawasan berhampiran.

Terjahan deras air yang mencurah dari gua itu tidak mengizinkan pengunjung untuk mandi, namun kami puas dapat merakam gambar dengan pemandangan yang cukup mendamaikan.

Kami kemudian meneruskan langkah berjalan kaki ke destinasi seterusnya, iaitu Air Terjun Weekacura.

 

AIR TERJUN WEEKACURA

Perjalanan sejauh dua kilometer itu tidak memenatkan lantaran mata terpesona dengan keindahan alam, melewati kehijauan rimba dan tali air di sebelah kanan, sementara di arah bertentangan pula mata kami dijamu pemandangan sawah yang melaut.

Suasana pagi cukup mendamaikan. Kelihatan petani sibuk mengerjakan sawah sementara kanak-kanak yang lengkap berseragam sekolah meneruskan perjalanan untuk menimba ilmu. Masing-masing juga tidak lokek senyuman dan membalas sapaan kami dengan mesra.

pic-5

Setelah hampir setengah jam menapak, kami akhirnya tiba di Air Terjun Weekacura yang terletak di tengah-tengah kawasan sawah padi dan beberapa tanaman lain.

Ketika kami sampai, waktu sudah hampir tengah hari dan deruan air terjun memberikan suasana nyaman, melawan terik cahaya matahari. 

Kolam yang menakung jatuhan air itu bagaikan menggamit kami untuk menyejukkan badan dengan berendam, menyertai beberapa orang kanak-kanak yang begitu ceria bermandi-manda. Ditambah pula airnya begitu jernih dan tampak kehijauan.

Dahan pokok-pokok besar yang tumbuh di keliling kolam dijadikan tempat kanak-kanak ini bergayut sebelum melontarkan diri mereka ke dalam kolam itu.

 

MELAWAT KAMPUNG ADAT

Usai menjamah hidangan tengah hari di sebuah kafe  di Waikabubak, kami bergerak  ke Kampung Adat Prai Ijing di Sumba Barat. 

Samat berperanan sebagai “ketua rombongan”, berjalan mendahului kami. Tiba di pintu masuk, lelaki ini mencium ukiran batu berbentuk kuda dan memberitahu kami bahawa mencium kuda batu itu adalah satu kemestian bagi pengunjung yang ingin memasuki kampung adat berkenaan.

Tanpa membantah, kami melakukan seperti yang disuruh dengan ada yang meletakkan tapak tangan dan mencium belakang tapak tangan itu. Penulis pula sekadar meletakkan dahi pada kuda batu tersebut.   

Gelagat kami dirakam oleh Samat yang tersenyum seakan menyembunyikan sesuatu.

pic-6

Kami kemudian meneruskan perjalanan hingga tiba di bahagian tengah kampung. Tidak jauh dari situ, kelihatan perkuburan dengan batu-batu megalitik megah berdiri di sekitar kawasan.

Ada antara kami yang mengambil peluang menyewa pakaian adat Sumba, lengkap dengan hiasan tangan dan kepala, sebelum mengambil gambar kenangan berlatarbelakangkan kampung itu.

Kami turut dibenarkan masuk ke sebuah rumah adat untuk melihat keadaan di dalamnya. Bukan sahaja rumah itu diperbuat daripada buluh, tempat tidur dan tempat duduk juga menggunakan bahan alam semula jadi tersebut.

 

BUKIT WAIRINDING 

Selepas lebih satu jam di kampung adat, kami meneruskan itinerari kembara menuju Bukit Wairinding di Sumba Timur. 

Destinasi pelancongan ini merupakan hamparan padang rumput yang berbukit dan beralun, menjadi tumpuan penduduk setempat membawa ternakan mereka, khususnya kuda, untuk meragut.

Kuda merupakan haiwan penting bagi masyarakat Sumba dan dapat dilihat di kebanyakan rumah penduduk kampung. Menurut Samat, kuda juga dijadikan mahar perkahwinan di Sumba.

Keindahan padang rumput di Bukit Wairinding ini berubah mengikut musim, iaitu kehijauan ketika musim hujan dan kuning keemasan sewaktu musim panas.

Kami tiba ketika hari lewat petang dan berpeluang menyaksikan panorama matahari terbenam dari puncak Wairinding. Keindahan alam ketika remang senja melekakan kami yang hanya bergerak ke tempat penginapan ketika malam mula berlabuh.   

Usai mendaftar masuk di hotel di Sumba Timur, Samat membuka cerita  tentang “tradisi cium kuda batu” sambil ketawa.

Rupa-rupanya lelaki ini sengaja menyakat kami dan Erra yang tahu bahawa tidak ada tradisi sedemikian pula “bersubahat” membiarkan kami ditipu oleh Samat. 

 

TENUN SUMBA

Hari ketiga di pulau ini kami dibawa ke pusat tenun.

Sebahagian besar tekstil Sumba mempunyai motif haiwan  yang memainkan peranan penting dalam masyarakatnya seperti kuda,  ayam jantan dan rusa yang ditenun dengan teknik Ikat Sumba.

pic-7

Lazimnya, corak yang ditenun ini mempunyai pelbagai mesej dan cerita tentang kehidupan masyarakat termasuk kisah rumah tangga.

Tenun Ikat Sumba dihasilkan menggunakan pewarna daripada tumbuhan, iaitu akar mengkudu untuk warna merah, sementara warna biru daripada tanaman wuira atau nila, lumpur untuk warna coklat dan kayu kuning untuk warna kuning. 

 

AIR TERJUN TANGGEDU 

Selepas membeli-belah di pusat tenun itu, perjalanan diteruskan ke Air Terjun Tanggedu. Kami melewati pemandangan hijau yang menyejukkan mata seperti padang rumput, bukit-bukau dan kawasan sawah. 

Perjalanan jauh  hampir dua jam setengah melibatkan pelbagai keadaan jalan - dari jalan raya bertar, jalan tanah dan akhir sekali jalan berbatu off-road di kawasan pedalaman.

Tiba di  medan kenderaan kawasan air terjun itu, kami perlu membonceng motosikal penduduk tempatan yang sedia menunggu, untuk dibawa ke air terjun berkenaan. Perjalanan tidak jauh, hanya kira-kira 15 minit.

Namun selepas itu, kami perlu menuruni tangga untuk ke kawasan hutan sebelum memanjat batu-batu besar. Ketika ini deruan air semakin jelas kedengaran disulami bunyi unggas hutan.

Sememangnya perjalanan itu agak mencabar, namun pemandangan yang menunggu kami membuatkan kami lupa keletihan memanjat batu-batu berkenaan. Di depan mata kami, air terjun setinggi lapan meter menarik tumpuan.   

Curahan air itu jatuh ke dalam kolam yang menggamit kami untuk menyejukkan badan.

Kedinginan air terjun itu benar-benar menyegarkan badan kami yang turut menghilangkan dahaga dengan air kelapa muda dijual oleh penduduk setempat.

 

PANTAI  PURUKAMBERA

Setelah puas berendam, rombongan penulis beredar menuju Pantai Purukambera untuk menikmati makan tengah hari.

Hamparan pasir putih dibarisi pohon cemara, menyediakan tapak yang sesuai untuk berkelah. Kami bentangkan tikar dan menikmati hidangan tengah hari.

Menepati julukan pulau ini, kawasan pantai itu juga “berjiran” dengan padang rumput, dan kami tidak melepaskan peluang merakam memori menerusi lensa kamera kami.

 

BUKIT TENAU 

Dari Purukambera, kami ke Bukit Tenau.

Bak ular yang dipalu, selekoh demi selekoh dilalui dan kenderaan kami semakin tinggi dari aras laut sebelum akhirnya tiba di puncak bukit.

Keindahan panorama membuatkan kami terpegun, dengan cahaya matahari petang melimpahi hamparan padang rumput berbukit, menghasilkan lukisan alam yang mempesona. 

Tanpa sedar senja tiba. Matahari kian  tersorok di balik bukit dan langit Sumba sekali lagi dihiasi oleh pelbagai rona jingga, daripada keemasan kepada kemerahan.

 

PERJALANAN DARAT YANG PANJANG

Hari keempat di Sumba, kami dibawa ke bahagian barat pulau, iaitu perjalanan sejauh kira-kira 200 kilometer, dan faktor geografi menjadikan pengembaraan kami mengambil masa lima jam.

Sekalipun begitu, perjalanan yang panjang itu tidak sia-sia kerana kami dapat mengenali kehidupan masyarakat Sumba setiap kali berhenti rehat.

Penduduk menunggang kuda merupakan pemandangan biasa, baik pulang dari ladang ataupun untuk ke tempat lain.

Kami tiba di tempat penginapan - sebuah resort di lereng bukit pinggir pantai yang menghadap Lautan Hindi - untuk menghabiskan malam terakhir di pulau ini. 

 

SUMBA  LENGANG PELAWAT  

Empat hari berlalu pantas dan ada banyak lagi tarikan semula jadi yang tidak sempat kami terokai, membuatkan penulis teringin kembali ke pulau ini.

Namun mengenangkan tidak ada penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke sini, mungkin menjadi kekangan kepada hasrat itu lantaran penulis tidak mahu menghabiskan banyak masa dalam perjalanan untuk sampai di sini.

Malah, kekangan penerbangan juga mungkin menjadi faktor Sumba masih tidak begitu dikenali oleh pelancong asing berbanding jirannya Pulau Flores.  

Justeru, perancangan syarikat penerbangan AirAsia untuk memperluas jaringan di Nusa Tenggara Timur, diharap dapat menyenaraikan Sumba sebagai destinasi penerbangan terus dari Kuala Lumpur, bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan juga penduduk Sumba saling mengenali. 

Lebih-lebih lagi pulau ini masih belum dicemari noda perkomersialan dan berpotensi menjadi alternatif kepada pulau-pulau peranginan lain di rantau ASEAN ini.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan