AM

Satu Penghormatan Besar: Presiden Xi Bakal Anjur Majlis Makan Malam Buat PM Anwar

04/11/2024 06:49 PM

Daripada Massita Ahmad

SHANGHAI, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diberikan penghormatan besar oleh Presiden China Xi Jinping apabila pemimpin negara itu bersetuju menganjurkan satu majlis makan malam bagi meraikan kehadiran Anwar, di The Great Hall of People, Beijing pada 7 Nov ini.

“Ini merupakan satu penghormatan yang besar bagi Malaysia kerana kedua-dua pemimpin ini bukanlah berada di peringkat yang sama.. bukan setara,” kata Duta Malaysia ke Beijing Datuk Norman Muhamad dalam persidangan media di sini sempena lawatan perdana menteri ke China.

Beliau berkata perdana menteri dijangka tiba di Shanghai malam ini, perhentian pertama sebelum Beijing, bagi memulakan lawatan kerja selama empat hari.

“Ini merupakan lawatan kerja untuk perdana menteri. Beliau bakal bertemu Xi yang merupakan ketua negara, manakala perdana menteri kita adalah ketua kerajaan. Untuk dapatkan ketua negara menjadi ‘hos’ kepada seorang ketua kerajaan, ia adalah satu penghormatan,” katanya.

Norman berkata majlis makan malam bagi meraikan lawatan rasmi pemimpin luar, biasanya akan dianjurkan oleh rakan sejawatan negara tuan rumah.

Perdana Menteri dijangka berlepas ke Beijing, perhentian terakhir bagi lawatan kerja ini pada 6 Nov, dan dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi.

Norman berkata di Shanghai, Malaysia juga diberikan penghormatan sebagai “Country of honour” di   Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7), dengan Anwar diberi penghormatan untuk berucap sejurus selepas rakan sejawatannya Li Qiang menyampaikan ucapan, sebelum diikuti lima negara yang lain.

“Dua sebab penghormatan itu diberikan, pertama bagi Malaysia, China adalah rakan dagang terbesar dan ia bagi meraikan ulang tahun ke 50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

“Kita melihat ia sebagai penutup siri program yang diadakan antara Malaysia dan China,” katanya.

Lawatan kerja Anwar ke China dari 4 hingga 7 Nov ini adalah atas jemputan rakan sejawatnya Li bagi menghadiri CIIE ke-7 di Shanghai.

Semasa di Shanghai, Perdana Menteri antara lain dijadual mengadakan pertemuan dengan Li bagi berbincang mengenai hubungan dua hala, sebagai susulan kepada perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun 2024, serta saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

CIIE merupakan inisiatif Kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.

Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Ini merupakan lawatan kali ketiga Anwar ke China sebagai perdana menteri, selepas kali pertama pada Mac 2023, dan September pada tahun yang sama, bagaimanapuun ini merupakan lawatan pertama beliau ke Shanghai sebagai perdana menteri.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan