AM

Kelewatan Projek RTB Disebabkan Pengambilan Tanah, Pengalihan Utiliti - Fadillah

05/11/2024 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kelewatan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pantai Timur berpunca daripada masalah pengambilan tanah dan pengalihan semula utiliti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata bagaimanapun isu pengambilan tanah telah diselesaikan dan projek yang terlibat telah mendapat pelanjutan tempoh kontrak bagi memastikan tiada lagi pelanjutan.

“Bagi masalah pengalihan utiliti, kita sudah dapat persetujuan daripada syarikat utiliti dan diharap kontraktor yang dilantik dapat mengalihkan utiliti dengan segera supaya tidak ada lanjutan lagi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu langkah drastik kementerian, dalam menyelesaikan kelewatan projek tebatan banjir dan kesan langsung daripadanya dalam menghadapi jangkaan banjir besar di seluruh negara khususnya Pantai Timur. 

Fadillah berkata terdapat 26 projek RTB di seluruh Pantai Timur dengan kos berjumlah RM8 bilion dan daripada jumlah itu, satu telah siap iaitu projek RTB Lembah Bertam di Cameron Highlands, Pahang, manakala 10 projek masih dalam peringkat prapelaksanaan.

Selain itu, 15 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dengan satu mengikut jadual, manakala 14 lagi mengalami masalah pelaksanaan.

Fadillah berkata untuk sebarang kelewatan, kementerian akan mengambil tindakan berdasarkan ketetapan Kementerian Kewangan melalui Pekeliling Perbendaharaan tatacara perolehan dan pentadbiran kontrak, yang antara lain membenarkan tempoh pelanjutan.

“Selain itu, kementerian juga akan mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap dengan pihak kontraktor untuk memastikan pelaksanaan disegerakan selain melaksanakan pemantauan secara rapi,” katanya.

Beliau berkata selain daripada projek RTB, sebagai penyelesaian jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja-kerja kecil di bawah Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir.

Fadillah berkata peruntukan berjumlah RM77 juta telah disalurkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada tahun 2022 sehingga 2023, untuk melaksanakan 1,050 sebut harga dengan skop utama seperti kerja-kerja pengaluran sungai, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan menaik taraf saluran serta struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai.

“Pada tahun ini pula, sebanyak RM16.83 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 391 sebut harga yang akan siap pada Disember 2024,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam mengurangkan kesan banjir, Fadillah berkata ia sudah terangkum dalam sistem yang dibangunkan JPS iaitu Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 3.

“Ini merangkumi pembangunan sistem ramalan dan amaran banjir negara dan sistem ramalan banjir AI.

“Dengan sistem ini, kita mengharapkan daripada data yang dihimpunkan, sama ada daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, maka data akan diakses melalui komputer dan kita dapat buat ramalan awal tempat akan berlaku banjir dan bila berlaku banjir, ini akan dikongsi bersama agensi kerajaan dan masyarakat umum,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan