JENAYAH & MAHKAMAH

Op Noda: Dua Pusat Hiburan Tanpa Lesen Diserbu, 48 Individu Ditahan

05/11/2024 02:20 PM

SHAH ALAM, 5 Nov (Bernama) -- Polis menyerbu dua pusat hiburan beroperasi tanpa lesen di Kepong dan Puchong serta menahan 48 individu termasuk warga asing dalam Op Noda baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dua serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hasil risikan dan maklumat.

Beliau berkata serbuan pertama dijalankan kira-kira 11.30 malam pada 31 Oktober lepas dengan menahan seramai 25 individu terdiri daripada seorang warga tempatan dan 24 warga asing di sebuah rumah kedai di Desa Aman Puri, Kepong.

“Polis turut merampas komputer riba dan peralatan hiburan serta wang tunai RM528.

“Kesemua tangkapan direman kali pertama empat hari sebelum warga tempatan disambung reman sehari lagi, manakala warga asing direman imigresen selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi kes kedua, Hussein berkata serbuan dijalankan pada 1 November kira-kira 11.30 malam di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong dan menahan 23 individu terdiri daripada dua warga tempatan dan 21 warga asing.

Polis turut merampas peralatan hiburan dan wang tunai RM175.

Hussein berkata suspek warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman sehari, manakala warga asing direman imigresen selama 14 hari.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1959, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1997 Selangor dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan