AM

Anggota Kesihatan Diingat Lapor Kesan Advers Ubat - KKM

05/11/2024 10:11 PM

PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Anggota kesihatan diingatkan supaya membuat laporan mengenai sebarang kesan advers ubat-ubatan bagi menjamin keselamatan pengguna. 

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah pemantauan keselamatan adalah amat penting untuk memastikan ubat-ubatan yang berada di pasaran terus selamat untuk digunakan. 

Pelaporan kesan sampingan membolehkan risiko keselamatan ubat-ubatan serta keperluan mengemas kini cara penggunaan ubat dikesan. 

"Di Malaysia, semua laporan kesan sampingan ubat-ubatan dikumpul menggunakan Sistem Pelaporan Kesan Advers, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). 

"Semua laporan akan dinilai dan dikaji oleh NPRA supaya tindakan bersesuaian dapat diambil termasuk sebarang tindakan regulatori bagi memastikan pengguna terus mendapat manfaat daripada penggunaan ubat-ubatan," menurut KKM.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan KKM bersempena dengan kempen #MedSafetyWeek, iaitu Minggu Keselamatan Ubat-Ubatan anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula semalam hingga Ahad ini. 

Kempen yang melibatkan 101 organisasi dari 90 negara itu mengangkat tema Preventing Side Effects yang menekankan kepentingan menggunakan ubat dengan cara yang betul bagi mencegah kesan sampingan dan menitikberatkan keperluan melaporkan kesan sampingan.

KKM dalam kenyataan itu memberitahu anggota kesihatan, malah pengguna sendiri, boleh melaporkan kesan sampingan kepada NPRA melalui beberapa saluran. 

Menurut KKM, anggota kesihatan boleh melaporkan melalui Sistem Maklumat Farmasi Hospital (PhIS), borang dalam talian menerusi portal NPRA atau mengisi borang secara manual dan hantar kepada NPRA melalui e-mel fv@npra@gov.my atau pos. 

Pengguna juga boleh mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (ConSERF) di laman web NPRA atau menghantar secara manual melalui alamat e-mel yang sama atau pos. 

Bagaimanapun, KKM menggalakkan pengguna untuk berbincang dengan anggota kesihatan tentang kesan sampingan yang dialami sebelum membuat laporan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan