AM

Parlimen Laksana Tiga Program Promosi Gaya Hidup Sihat Untuk Wakil Rakyat

06/11/2024 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Parlimen hari ini melaksanakan Program Kesejahteraan Kesihatan Bersama Ahli Parlimen untuk mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan wakil rakyat Malaysia. 

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata program itu juga adalah untuk mempromosi Agenda Nasional Malaysia Sihat termasuk perkhidmatan bergerak atau Wellness on Wheel (WoW) dan inisiatif War on Sugar serta 1000 Days of Life yang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM). 

Beliau berkata kesemua program itu bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat terutama pemakanan sihat dan kelestarian yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

“Sukacita saya ingin maklumkan bagi menyambut kempen War on Sugar oleh KKM, setiap hari Rabu tidak ada gula dalam minuman dan melalui kempen Jom Kosong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Ahli Parlimen akan mendapat diskaun 20 sen bagi setiap pembelian air yang tiada gula,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. 

Program Kesejahteraan Kesihatan Bersama Ahli Parlimen, yang bermula hari ini, akan berlangsung hingga 14 Nov ini. 

Johari berkata sempena program itu, beliau turut mewajibkan Ahli Parlimen untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan di Klinik Parlimen Malaysia. 

Terdahulu, dalam ucapan pemasyuran mengenai program itu selepas sesi soal jawab, beliau berkata sebagai tambahan kepada aktiviti pembudayaan hidup sihat, semua Ahli Parlimen digalakkan untuk mengamalkan senaman ringan, atau X-Break, sewaktu persidangan Parlimen bermula hari ini. 

Mengulas mengenai program itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini adalah kali pertama badan legislatif bekerjasama dengan badan eksekutif untuk menganjurkan satu kempen penting bagi memastikan kesejahteraan kesihatan Ahli Parlimen.

Menyentuh mengenai WoW pula, beliau berkata KKM akan membawa program itu ke kawasan pedalaman bagi mendekati setiap lapisan masyarakat untuk memberi manfaat hidup sihat. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan