AM

Pulau Pinang Komited Membina Asas Ke Arah Kehebatan Teknologi Dan Kepakaran Industri

06/11/2024 06:29 PM

GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) - Kerajaan Pulau Pinang komited untuk mewujudkan asas yang berlandaskan kehebatan teknologi dan kepakaran industri, sekali gus menjadi peneraju dalam pembuatan berteknologi tinggi dan pemain utama dalam rantaian bekalan global.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata fokus negeri ini adalah untuk mencipta ekosistem yang menyokong keseluruhan perjalanan inovasi - dari penyelidikan universiti hingga ke komersialisasi dan kemasukan pasaran.

“Diiktiraf sebagai Silicon Valley Malaysia, kekuatan Pulau Pinang menyediakan platform yang kukuh untuk memajukan teknologi dan membangunkan modal insan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi negeri itu menekankan bahawa inisiatif seperti INNOZILLA 2024 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) selaras dengan visi lebih luas Pulau Pinang dengan memberi tumpuan kepada bakat masa depan dan merangsang inovasi dalam pelbagai sektor.

"Dengan mengintegrasikan INNOZILLA ke dalam visi ini, kami mengukuhkan komitmen untuk menyokong industri, memperkasakan belia, dan mengekalkan kelebihan daya saing Pulau Pinang," katanya semasa perasmian INNOZILLA 2024 di Dewan Utama Pelajar, USM, hari ini.

-- LAGI

 

JAGDEEP-P. PINANG (ASAS) 2 (AKHIR) GEORGE TOWN

 

Jagdeep berkata Pulau Pinang berada pada kedudukan yang baik untuk menarik teknologi canggih dan pelaburan bernilai tinggi, terutamanya sebagai hab bagi industri semikonduktor dan elektronik, sambil menambah bahawa kekuatan Pulau Pinang menjadikannya lokasi yang ideal untuk mengubah idea inovatif menjadi aplikasi praktikal yang boleh memenuhi pasaran global.

INNOZILLA 2024 anjuran USM yang berlangsung sehingga esok, merupakan pameran dan pertandingan inovasi dinamik yang bertujuan untuk memajukan Matlamat Pembangunan Mampan  (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Acara ini menampilkan 188 projek (143 fizikal dan 45 maya) dari sekolah, kolej, universiti, dan syarikat permulaan di seluruh Pulau Pinang dan beberapa negeri lain di Malaysia, serta peserta dari Indonesia dan Singapura.

Peserta bertanding dalam dua kategori: “Vanguard” untuk pencipta berpengalaman dan “Trailblazer” untuk inovator baru.

Naib Canselor USM Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata INNOZILLA 2024 lebih daripada sekadar pameran kerana ia berfungsi sebagai ekosistem yang memupuk perkongsian pengetahuan, pembangunan bakat, dan kerjasama antara penyelidik dan industri.

“Bersama-sama, kita dapat memastikan penyelidikan kita diterjemahkan menjadi penyelesaian yang memberi impak kepada masyarakat. Dengan selaras dengan SDGs PBB, kami berharap dapat menangani cabaran sosial, ekonomi, dan alam sekitar,” katanya.

Acara ini turut menarik lebih 30 pemain industri dan agensi kerajaan, yang menunjukkan sokongan mereka dalam membantu akademia dan inovator mengubah ciptaan mereka menjadi produk yang sedia dipasarkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan