AM

Pesawah Digalak Tingkat Tanaman Padi Spesial

06/11/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggalakkan pesawah mengusahakan tanaman padi spesial kerana ia mempunyai nilai komersial dan harga jualan yang lebih tinggi berbanding beras putih biasa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata saban tahun negara mengimport lebih satu juta tan metrik beras iaitu hampir 22 peratus merupakan beras spesial seperti beras wangi, beras basmati dan lain-lain.

“Peningkatan keluasan serta peningkatan hasil varieti spesial yang ditanam dalam negara dapat menampung keperluan domestik dan secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada beras import,” katanya pada sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab usul yang dikemukakan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai pembangunan potensi industri beras spesial sebagai sekuriti makanan negara.

Arthur berkata kementerian terbuka dan bersedia untuk menyemak semula undang-undang sedia ada sekiranya ada keperluan bagi membolehkan industri beras spesial terus berkembang pesat dan berdaya saing memandangkan potensi penanaman padi spesial sebagai alternatif yang dapat mempelbagaikan varieti dan meningkatkan pendapatan pesawah.

Beliau berkata KPKM melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melaksanakan kajian mengenai penerimaan pengguna terhadap beras spesial keluaran MARDI iaitu beras rebus, padi warna dan beras wangi.

“Hasil kajian terhadap beras rebus oleh MARDI menunjukkan pengguna lebih cenderung memilihnya kerana ciri-ciri nasi yang lebih seroi dan beraroma berbanding beras rebus lain di pasaran. Hal ini turut diakui oleh pihak industri dengan pengilang padi juga merasakan bahawa beras rebus MARDI lebih beraroma,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan