AM

Belanjawan: Pusat Permata Beri Sinar Buat Ibu Bapa Anak Autisme Di Terengganu

07/11/2024 11:39 AM

Oleh Balqis Jamaludin

KUALA TERENGGANU, 7 Nov (Bernama) -- Keprihatinan kerajaan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas yang diterjemahkan dengan pengumuman pembinaan 11 Pusat Permata baharu semasa Belanjawan 2025 termasuk di Terengganu, memberi sinar kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme di negeri ini.

Mereka yang selama ini dahagakan bimbingan dan rujukan untuk membesarkan anak-anak istimewa itu,  berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pusat pendidikan khas untuk anak-anak mereka, berikutan jumlah bilangan doktor dan ahli terapi yang terdapat di hospital kerajaan di Terengganu adalah terhad.

Pengerusi Persatuan Autisme Terengganu Engku Mohd Hairul Nizam Tuan Ahmad berkata disebabkan masalah itu, anak-anak autistik ini hanya dapat melakukan terapi sebulan sekali sahaja sedangkan ia sepatutnya dilakukan dengan lebih kerap, agar terapi dapat dilakukan lebih berkesan.

“Ahli terapi yang ada juga bukan khusus untuk anak-anak autisme sahaja tetapi mereka juga perlu melatih dan merawat pesakit lain juga seperti Sindrom Down dan sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Engku Mohd Hairul Nizam berkata meskipun di Terengganu ketika ini mempunyai tujuh atau lapan ahli terapi swasta yang menawarkan perkhidmatan di premis-premis persendirian, namun tidak semua ibu bapa berkemampuan memandangkan kosnya mencecah RM80 hingga RM150 bagi setiap sesi satu jam.

Pada masa yang sama, beliau yang mempunyai seorang anak yang mengidap ‘mild autism’  Luqmanul Hakim, 21, turut mencadangkan Pusat Permata baharu untuk anak-anak autistik yang bakal dibina nanti turut dilengkapkan dengan modul latihan kepada ibu bapa, agar mereka dapat melatih anak-anak apabila berada di rumah.

“Saya faham cabaran yang dihadapi ibu bapa ini. Bayangkan sekiranya bergantung kepada ahli terapi, anak-anak tidak akan menerima latihan pada hari cuti dan hujung minggu, sedangkan anak-anak autisme ini perlu dilatih setiap hari.

“Ketika anak masih kecil dahulu saya terpaksa membawa dia menjalani terapi swasta di Shah Alam, Selangor, jadi saya mengambil inisiatif untuk belajar daripada ahli terapi untuk melatih sendiri anak saya seperti cara memegang pensil dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu Rosmiza Anuar, 40, pula menyarankan Pusat Permata bakal dibina nanti bukan hanya menyediakan kemudahan untuk kanak-kanak autisme, tetapi juga terapi dan latihan kemahiran untuk anak-anak autisme yang telah dewasa khususnya tentang cara berkomunikasi.

Ibu kepada tiga anak itu berkata meskipun anak sulungnya Mohamad Rayyan Haikal Mohd Fauzi, 15, yang mempunyai ‘mild austim’ kini telah bersekolah di aliran perdana sejak tahun lepas, namun dia masih bimbang berikutan masalah komunikasi yang dialami oleh anaknya terutama dengan individu yang tidak dikenali.

“Walaupun dia sudah boleh berdikari dan menjaga adik-adiknya, tetapi dia masih lagi mengalami masalah berkomunikasi dengan orang luar dan tidak mampu untuk menatap mata kita terutama ketika bercakap,” katanya.

Seorang bapa Md Yassin Embong, 51, yang mempunyai anak autism Fazli Azizi, 18, turut senada dengan Rosmiza yang mahukan Pusat Permata baharu nanti turut menyediakan latihan untuk anak-anak autisme dewasa, agar mempunyai kemahiran yang dapat digunakan untuk menyara kehidupan suatu hari nanti.

“Kalau kita hendak hantar ke institusi latihan biasa mungkin susah buat anak-anak autisme kerana cara pergaulan, percakapan dan perkembangan mereka tidak sama seperti orang lain. Jadi hanya yang pakar boleh mengawal dan melatih mereka, dengan bidang kemahiran agar dapat digunakan bagi mencari pendapatan sendiri,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan pembinaan 11 Pusat Permata bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Langkan itu juga sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan kanak-kanak autistik mendapat akses kepada pendidikan dan sokongan berkualiti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan