TRENTON (Kanada), 7 Nov (Bernama-Anadolu) -- Kanada telah mengharamkan TikTok daripada menjalankan perniagaan di negara itu susulan kebimbangan terhadap keselamatan negara, umum Menteri Inovasi Francois-Philippe Champagne pada Rabu.
Ini bermakna TikTok mesti menutup pejabatnya di Toronto dan Vancouver, dan sementara rakyat Kanada masih boleh menggunakan aplikasi itu, Champagne mengingatkan mereka supaya berhati-hati.
“Kerajaan tidak menyekat akses rakyat Kanada kepada aplikasi TikTok atau keupayaan mereka untuk mencipta kandungan.
“Adalah penting bagi rakyat Kanada untuk mengamalkan amalan keselamatan siber yang baik dan menilai risiko yang mungkin timbul daripada penggunaan platform media sosial dan aplikasi, termasuk bagaimana maklumat mereka mungkin dilindungi, diuruskan, digunakan dan dikongsi oleh pihak asing,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Agensi Anadolu.
Champagne berkata keputusan untuk menghentikan operasi TikTok di Kanada dibuat selepas tinjauan keselamatan yang ketat.
“Keputusan ini berdasarkan maklumat dan bukti yang dikumpulkan sepanjang tinjauan serta nasihat daripada komuniti keselamatan dan perisikan Kanada serta rakan kongsi kerajaan lain,” katanya.
Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada (CSIS) sebelum ini telah memberi amaran kepada rakyat Kanada supaya berhenti menggunakan aplikasi.
Penggubal undang-undang di Amerika Syarikat membuat kesimpulan yang sama, dan TikTok mungkin menghadapi penutupan penuh di AS pada Januari 2025 jika pemiliknya, ByteDance tidak menjual operasinya di AS.
Pegawai AS mengambil tindakan itu dengan mendakwa TikTok boleh dipaksa oleh kerajaan China untuk menyerahkan data mengenai rakyat Amerika yang diperoleh melalui penggunanya.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial