BERITA TERGEMPAR | PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | |
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia berharap Amerika Syarikat (AS) dapat meningkatkan lagi penglibatannya di Asia Tenggara, semasa Malaysia turut berminat untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan negara itu, termasuk dalam bidang pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendidikan adalah pemacu kepada pertumbuhan, inovasi dan persefahaman bersama, sehubungan itu Malaysia percaya perkongsian yang kukuh dalam bidang ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada negara tetapi juga seluruh rantau ASEAN.
"Dengan mengukuhkan hubungan pendidikan, kita boleh memperkasakan pemimpin masa depan, memacu pembangunan mampan dan memupuk pertukaran budaya yang memperkayakan masyarakat kedua-dua negara," katanya dalam ucaptama pada Dialog Meja Bulat Naib Canselor AS-Malaysia: Perkongsian dalam Pendidikan Tinggi 2024, di sini hari ini.
Dialog anjuran Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) itu menghimpunkan naib canselor daripada 25 universiti awam dan swasta Malaysia untuk terlibat secara langsung dengan Kementerian Pendidikan dan Duta Besar Amerika ke Malaysia, dalam aspek berkaitan kepentingan bersama seperti perkongsian penyelidikan dan pertukaran akademik.
Malaysia komited untuk menjadikan perkongsian itu sebagai asas Kepimpinan ASEANnya, dan menjangkakan satu perjalanan kerjasama yang akan memberi kesan positif jangka panjang kepada sektor pendidikan negara.
Zambry yang ditemui media kemudiannya berkata kedua-dua pihak telah membincangkan bidang kerjasama baharu, seperti mobiliti pelajar dan mobiliti akademik bagi kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat.
"Kami sangat komited dan akan meneliti perkara itu, dan kemudian kami berharap akan dapat merangka pelan tindakan pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Sementara itu Zambry menyampaikan ucapan tahniah kepada rakyat Amerika Syarikat atas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden negara itu.
Beliau berkata kemunculan semula politik Trump yang luar biasa selepas meninggalkan White House, adalah proses demokrasi biasa bagi mana-mana negara yang kukuh.
"Amerika Syarikat terus mempamerkan kuasa penglibatan siviknya serta daya tahan yang tinggi, dan walaupun mengharungi pelbagai kesukaran, anda kini telah melantik presiden baharu anda.
“Jadi kita harap hubungan kita akan terus kukuh, dan seperti yang anda sedia maklum, hubungan ini telah berakar umbi selama bertahun-tahun dalam pelbagai bidang, bukan sahaja dalam ekonomi, malah dalam pendidikan,” katanya.
Trump kini bersedia untuk memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat selepas berjaya mengalahkan calon parti Demokrat, Naib Presiden Kamala Harris dalam pemilihan untuk ke White House. Trump kalah dalam pilihan raya presiden 2020 kepada Joe Biden.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial