AM

Malaysia Perlukan Lebih Ramai Penyelidik Dalam Industri - Mohammad Yusof

07/11/2024 09:01 PM

NILAI, 7 Nov (Bernama) -- Bilangan penyelidik dalam sektor industri di Malaysia perlu ditingkatkan dengan ketara untuk mengukuhkan ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Beliau berkata perubahan ini amat penting untuk memperkasakan dan meningkatkan keupayaan industri tempatan dalam menuju ke arah aktiviti yang bernilai tambah tinggi, seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

Mohammad Yusof berkata data terkini menunjukkan lebih 87 peratus penyelidik Malaysia berada di institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut penyelidikan awam.

“Sebagai contoh, negara seperti Singapura dan Thailand, yang terkenal dengan ekosistem inovasi mereka, mempunyai lebih 50 peratus penyelidik yang bekerja dalam sektor industri. Ini membolehkan mereka mencipta lebih banyak produk inovatif yang kekal relevan di pasaran global.

"Memang kita di peringkat kerajaan berusaha meningkatkan penyelidikan dalam negara, termasuk dalam industri, supaya kita boleh terus membantu membangunkan industri dan pada masa yang sama, memperkukuh lagi ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Anugerah Chrysalis 2024 oleh Jaringan Saintis Muda-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) di sini hari ini. Turut hadir Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim.

Mohammad Yusof menekankan peranan penting saintis muda di Malaysia dalam menerajui inovasi baharu iaitu kira-kira 30 peratus penyelidik negara tergolong dalam kumpulan ini.

"Kita mahu berusaha untuk mencapai lebih daripada itu, mungkin peningkatan 50 peratus pada masa akan datang, sebab itu kita menggalakkan pendekatan lebih ramai saintis muda untuk negara. Insya-Allah, dengan usaha seperti ini, kita harap lebih ramai penyelidik dapat dilahirkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyokong perjalanan kerjaya saintis muda dan menggalakkan mereka memanfaatkan inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia 2021-2030 serta peluang pembiayaan termasuk Dana Penyelidikan Strategik dan dana Malaysia Grand Challenge (MGC) untuk membawa idea inovatif mereka ke arah pengkomersialan.

Beliau juga berharap agar platform YSN-ASM terus diperkukuh sebagai pusat jaringan dan kerjasama dalam negara serta antarabangsa yang utuh dalam kalangan saintis muda.

Beliau berkata inisiatif seperti Anugerah Chrysalis YSN-ASM perlu terus diperkasakan untuk menyiapkan penyelidik masa depan bagi memenuhi tuntutan dalam memajukan ekosistem STIE.

Pada majlis itu, Mohammad Yusof menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Chrysalis 2024, yang dimenangi Wong Li Wen daripada Universiti Monash, KM Pershaanaa daripada Universiti Malaya (naib juara) dan Mohammed Afiq Hidayat Zailani daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (tempat ketiga).

Anugerah Chrysalis YSN-ASM merupakan program tahunan yang diperkenalkan pada  2020, bertujuan untuk mengenal pasti dan mengiktiraf bakat penyelidik masa depan yang berpotensi dalam kalangan mahasiswa tahun akhir ijazah doktor falsafah (PhD) di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan