KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Persidangan Perubatan Gaya Hidup Malaysia ke-4 bertemakan "Revolusi Pengurusan Diabetes: Daripada Pencegahan Kepada Remisi", bakal diadakan di sebuah hotel di sini dari 21 hingga 23 Nov ini.
Program yang dianjurkan secara hibrid oleh Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) itu akan menumpukan kepada pendekatan inovatif dalam perubatan gaya hidup untuk mencegah, mengurus, dan membalikkan diabetes jenis 2.
Presiden dan Pengasas MSLM Dr Siva Poobalasingam berkata persidangan tahun ini akan menghimpunkan pakar antarabangsa dan tempatan bagi membincangkan intervensi perubatan gaya hidup intensif berasaskan bukti yang bukan sahaja boleh mencegah, tetapi juga berpotensi membawa diabetes jenis 2 ke tahap remisi atau pengurangan keterukan gejala.
"Inisiatif Malaysia dalam program Perubatan Gaya Hidup untuk Remisi Diabetes kini diketengahkan di laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang menandakan pencapaian penting bagi negara," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Beliau berkata persidangan itu akan menampilkan ceramah, bengkel dan forum yang bertujuan memperkasakan profesional penjagaan kesihatan dengan strategi yang praktikal bagi membantu pesakit melawan diabetes.
Persidangan berkenaan juga ialah susulan daripada usaha perintis Malaysia dalam menyepadukan gaya hidup ke dalam sektor kesihatan awam, dengan projek perintis Perubatan Gaya Hidup untuk Remisi Diabetes WHO–KKM mencapai hasil memberangsangkan.
Pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Perubatan Gaya Hidup Global di Weill Cornell Medicine-Qatar (WCM-Q) pada Februari lepas, Dr Siva, yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Lifestyle Medicine Global Alliance (LMGA) dan International Board of Lifestyle Medicine (IBLM) baru-baru ini, membentangkan kejayaan Malaysia dalam mengamalkan perubatan gaya hidup untuk remisi diabetes.
"Usaha kami di Malaysia amat dipuji pemimpin perubatan gaya hidup global," katanya sambil menekankan pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia yang diterima bagi kemajuan penjagaan kesihatan awam itu.
Ketika Malaysia terus menyumbang kepada perbincangan Civil 20 (C20), penglibatan MSLM akan menumpukan kepada mengemukakan cadangan mengenai perubatan gaya hidup dan remisi diabetes kepada pemimpin G20.
Profesional penjagaan kesihatan termasuk pakar perubatan dan petugas kesihatan bersekutu digalakkan menghadiri persidangan itu bagi memperoleh pandangan daripada pakar terkemuka mengenai topik, seperti diet berasaskan tumbuh-tumbuhan dan pengurusan stres.
Ia turut memberi peluang rangkaian yang berharga kepada mereka yang komited terhadap transformasi amalan penjagaan kesihatan.
Persidangan itu juga akan disusuli dengan Peperiksaan Pensijilan Lembaga dalam Perubatan Gaya Hidup yang dikendalikan oleh IBLM.
Maklumat lanjut mengenai persidangan termasuk pendaftaran, sila layari https://lifestylemedicinemalaysia.org.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial