KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia tumbuh sederhana kepada 2.3 peratus tahun ke tahun pada September 2024 daripada pertumbuhan 4.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2024, dipengaruhi pengeluaran lebih lemah dalam sektor pembuatan dan elektrik.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan pengeluaran dalam sektor pembuatan turun kepada 3.2 peratus tahun ke tahun pada September 2024 daripada 6.5 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2024.
Ini berikutan perkembangan dalam industri berorientasikan eksport pada 3.4 peratus, lebih perlahan berbanding 6.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya, jelas DOSM dalam kenyataan pada Jumaat.
Jabatan itu menjelaskan pertumbuhan sektor elektrik juga turun kepada 3.9 peratus daripada 4.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Sektor perlombongan, walaupun kekal dalam wilayah negatif bagi bulan ketiga berturut-turut, menyaksikan pengeluarannya menguncup sebanyak 2.2 peratus pada September 2024 namun, bertambah baik berbanding penguncupan 6.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos, tambah DOSM.
Ketua Perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan pengeluaran dalam sektor perlombongan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pengeluaran minyak mentah dan kondensat, yang terus menguncup 11.4 peratus daripada -5.7 peratus pada Ogos 2024.
Ini diimbangi oleh pertumbuhan pengeluaran gas asli yang pulih kepada 4.5 peratus daripada -7.0 peratus pada Ogos 2024, katanya.
Menurut DOSM, perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP turun sebanyak 0.7 peratus berbanding 1.7 peratus yang direkodkan pada Ogos 2024.
Mohd Uzir berkata bagi suku ketiga 2024, IPP turun sebanyak 3.9 peratus berbanding 4.5 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh sektor pembuatan dengan pertumbuhan 5.8 peratus, terus meningkat daripada 4.9 peratus pada suku kedua 2024. Selain itu, IPPI bagi sektor perlombongan merosot sebanyak 4.6 peratus berbanding 2.4 peratus pada suku kedua.
“Manakala sektor elektrik mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus berbanding 5.3 peratus pada suku kedua,” katanya.
Beliau berkata perbandingan suku ke suku, IPP meningkat sebanyak 3.7 peratus.
Sementara itu, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, IPP bertambah baik sebanyak 3.9 peratus berbanding 0.7 peratus pada tempoh sama 2023.
DOSM memaklumkan industri berorientasikan domestik susut sebanyak 2.7 peratus berbanding 7.1 peratus pada Ogos 2024.
“Ini disebabkan oleh penurunan sebanyak 14.9 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi-treler (Ogos 2024: 7.7 peratus), serta penyederhanaan dalam pembuatan produk prosesan makanan yang turun 3.5 peratus (Ogos 2024: 4.4 peratus),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial