AM

Lawatan Rasmi PM Anwar Ke Mesir Bakal Perkukuh Hubungan Dua Hala Malaysia-Mesir

09/11/2024 02:52 PM

KAHERAH, 9 Nov (Bernama) -- Lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir mulai hari ini bakal melakar sejarah penting hubungan persaudaraan Malaysia dan Mesir, kata Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Mohd Tarid Sufian.

Beliau berkata ini kerana lawatan atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi itu, akan membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama serta memperkukuh asas yang menjadi sinergi ke atas usaha-usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.

Perdana Menteri dijangka tiba di sini pada 6.30 petang hari ini waktu tempatan atau 12.30 tengah malam waktu Malaysia.

Mohd Tarid berkata esok (10 Nov) Anwar akan disambut oleh El-Sisi dalam satu majlis Sambutan Rasmi di Istana Al Ittihadiya, diikuti mesyuarat dua hala.

“Sesi perbincangan tersebut dijangka akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala melalui peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pelancongan, pendidikan dan hal ehwal agama.

“(Turut dibincangkan berkaitan) penerokaan kerjasama baharu dalam industri halal, kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan air, sumber asli dan kelestarian alam,” katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini, sempena lawatan Perdana Menteri itu.

Mohd Tarid berkata kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, terutamanya mengenai konflik Palestin.

Beliau berkata sempena lawatan itu juga, Anwar dan El-Sisi turut dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif bagi kerjasama di Fakulti Ulum Islamiah dan MoU bagi kerjasama Malaysia dan Mesir dalam bidang hal ehwal agama.

Selain itu Mohd Tarid berkata Anwar juga dijadual menyampaikan ceramah umum di Universiti Al-Azhar, mengadakan libat urus bersama kapten-kapten industri tempatan, merasmikan pusat operasi pemasangan Proton Saga serta mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di sini.

“Tahun ini merupakan genap 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Mesir, ini merupakan tarikh yang amat bersejarah bagi kedua-dua negara, lawatan ini sangat bertepatan dengan sambutan (ulang tahun) ke-65 (hubungan diplomatik) tersebut.

“...sebenarnya, hubungan 65 tahun itu memang kebetulan dengan tarikh mesyuarat (dua hala) pada 10 Nov (ini) sebab penubuhan hubungan diplomatik (Malaysia dan Mesir) itu pada 10 Nov,” katanya.

Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Mesir merupakan rakan dagangan Malaysia ke-5 di antara negara-negara Afrika pada tahun 2023, dengan nilai dagangan berjumlah RM3.35 bilion dengan imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

Bagi tempoh Januari hingga September 2024 pula, jumlah nilai dagangan direkodkan kedua-dua negara ialah RM3 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 21.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023 dan nilai dagangan kedua-dua negara tahun ini dijangka mengatasi prestasi tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan