AM

MOSTI Tingkat Usaha Anjur Karnival STI Hadapi Revolusi Industri 4.0

09/11/2024 04:06 PM

LABUAN, 9 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus meningkatkan usaha mengadakan Karnival Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi kesiapsiagaan negara menghadapi kerancakan Revolusi Industri 4.0 menerusi peningkatan penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta orang awam berhubung kepentingan teknologi seperti robotik, automasi, data raya, analitik yang canggih serta pelbagai lagi perkembangan teknologi digital di luar kotak fikiran.

“Sehubungan dengan itu, bagi meneruskan momentum pendekatan pelaksanaan pada tahun lepas, Minggu Sains Negara pada tahun ini diteruskan secara hibrid melalui dua kaedah secara serentak, iaitu pelaksanaan aktiviti bulanan menerusi platform maya atau dalam talian.

“Kedua ialah pelaksanaan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 secara fizikal dan bersasar di beberapa negeri dengan pelaksanaan Karnival STI MADANI Peringkat Labuan hari ini yang merupakan karnival MSN ketujuh dilaksanakan selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,  Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival STI MADANI 2024 Labuan dan Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah (UMS) Labuan di sini hari ini.

Beliau berkata antara tujuan utama pelaksanaan Karnival MSN 2024 ialah meraikan kepelbagaian pengisian STI di setiap negeri dan juga memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan idea, teknologi dan inovasi mengikut keperluan masyarakat setempat.

Pada masa yang sama katanya, pelaksanaan MSN secara dalam talian dan pengisian program bulanan diteruskan dengan kerjasama padu antara jabatan serta agensi di bawah MOSTI, institusi pengajian tinggi, badan swasta dan persatuan serta rakan-rakan strategik yang berkaitan.

“Antara program yang akan dirangka secara dalam talian ialah webinar, forum, kuiz serta cabaran penerokaan berdasarkan bidang-bidang fokus yang telah ditetapkan secara bulanan.

“Setiap program yang disusun di bawah Minggu Sains Negara menyasarkan penglibatan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, pihak industri serta orang awam,” katanya.

Mohammad Yusof berkata melihat kepada sambutan penyertaan memberangsangkan pada tahun lepas, MOSTI menyasarkan lebih 600,000 pengunjung dapat dicapai pada tahun ini.

“Penganjuran MSN 2024 turut menawarkan lebih 50 aktiviti dan pengisian bulanan menarik yang berteraskan STI untuk para pengunjung dan peserta di luar sana,” katanya.

-- BERNAMA



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan