KUALA KANGSAR, 10 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak bersama-sama lebih 12,000 peserta di Dataran Pavilion di sini hari ini.
Turut berangkat puteri baginda Raja Nazira Safya dan adinda Sultan Nazrin Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin, barisan exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Larian yang bermula pada 6.45 pagi itu diadakan sempena Hari Keputeraan baginda ke-68 yang disambut pada 1 Nov lepas.
Terdahulu Sultan Nazrin berkenan melepaskan peserta bagi kategori 15 kilometer (km), 10km dan tujuh kilometer, manakala peserta kategori tetamu kehormat VIP yang membabitkan jarak 3.5km dilepaskan oleh Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Acara larian berkenaan kembali ke Kuala Kangsar selepas Sultan Nazrin memberi perkenan ia diadakan di Taiping tahun lepas.
Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan ke majlis jamuan santapan dan upacara penyampaian hadiah.
Pemenang tempat pertama bagi kategori 15km menerima wang tunai RM800 dan plak, kedua (RM700 dan plak) serta ketiga (RM600 dan plak), manakala tempat pertama untuk kategori 10km pula mendapat wang tunai RM600 dan plak, tempat kedua (RM500 dan plak) serta tempat ketiga (RM400 dan plak).
Larian berkenaan yang mengekalkan keunikan tersendiri seperti tahun sebelumnya turut diselitkan dengan pelbagai acara sampingan dan penyediaan makanan tradisional kepada peserta.
Di sepanjang larian, peserta melalui kawasan kampung di sekitar bandar berkenaan yang menyajikan pemandangan menarik dan mencetuskan keseronokan kepada mereka.
Pelbagai persembahan dan aktiviti menarik turut disediakan di sepanjang laluan larian antaranya stesen kuih-muih, permainan tradisional gasing pangkah dan persembahan gendang Cina, India, tarian serta persembahan kompang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial