KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Setelah meraih sambutan hangat tahun ini dengan 4,371 peserta, penganjur Fun Run Mamee Monster 2024 berhasrat menjadikan larian itu sebagai acara tahunan bagi menggalakkan gaya hidup sihat.
Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd Ahmad Syukry Ibrahim yang juga pengarah projek larian itu berkata kejayaan penganjuran kali pertama ini memberi keyakinan kepada pihaknya untuk memperluaskan skala acara pada tahun akan datang.
"Alhamdulillah penyertaan pada tahun ini di luar jangkaan sebenarnya, kita jangkakan 3,000 penyertaan sahaja.
"Sambutan tahun ini amat menggalakkan dan kami amat berbangga dengan kerjasama yang diterima daripada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan juga KBS (Kementerian Belia dan Sukan), dan Jabatan Wilayah Persekutuan yang memberikan kerjasama jitu. Pada masa hadapan kami akan memberikan yang lebih baik," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ahmad Syukry berkata edisi tahun depan akan berlangsung di Melaka dengan jarak larian yang lebih jauh iaitu 10 km dengan sasaran penyertaan seramai 15,000 orang.
Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk menambah pelbagai aktiviti menarik termasuk menjemput selebriti dan pempengaruh bagi memeriahkan lagi acara, sebagai tarikan kepada pelbagai lapisan masyarakat
Acara larian ria bermula 7 pagi melibatkan kategori 3km dan 5 km berlangsung di Dataran DBKL itu disertai peserta daripada pelbagai peringkat masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang berkerusi roda dan ibu bapa yang membawa bayi dalam stroller.
Peserta Ahmad Afiq Shazairil Adri, 20, yang menghidap Sindrom Prader-Willi (PWS) yang dibawa ibu bapanya menggunakan kerusi roda antara yang teruja menyertai larian ria buat kali pertama.
"Saya tertarik untuk sertai sebab suka dengan maskot Mamee Monster, lain kali saya mahu sertai lagi (larian ria), " katanya.
Pekerja bank Rosmahani Razali, 38, berkata konsep warna-warni yang diketengahkan penganjur antara faktor yang menarik beliau menyertai acara tersebut, selain bertekad menjadikan aktiviti itu sebagai hobi.
"Saya makan Mamee Monster sejak kecil lagi, jadi tertarik untuk menyertai program hari ini apabila mereka adakan larian ria ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial