EKONOMI

Peru Bersiap Sedia Jadi Tuan Rumah Minggu Pemimpin APEC Ke-31

10/11/2024 03:28 PM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 10 Nov (Bernama) -- Ibu kota Peru, Lima bersiap sedia dengan kawalan keselamatan yang ketat untuk menganjurkan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ketiga, acara penting yang menekankan peranannya sebagai pengerusi forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun ini untuk meliberalisasikan lagi perdagangan dalam kalangan ekonomi serantau.

Sebuah negara yang terletak di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur, pernah menjadi tuan rumah untuk AELW sebelum ini pada 2016 dan 2008.

Bertemakan “Empower. Include. Grow.”, AELW ke-31 bermula dengan Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) yang keempat pada 10 Nov, diikuti dengan penutupan Mesyuarat Pegawai Kanan dan Mesyuarat Peringkat Menteri.

Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif dijadualkan pada 14 hingga 15 Nov, Dialog Pemimpin Ekonomi APEC dengan ABAC dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 16 Nov, yang akan dipengerusikan oleh Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra.

Peru dijangka mengetuai pemimpin APEC dalam menerima pakai Pelan Induk Lima 2024 untuk Menggalakkan Peralihan kepada Ekonomi Formal dan Global dan Kenyataan Ichma mengenai Pandangan Baharu untuk memajukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), menggariskan komitmen rantau ini dalam menangani cabaran global dan memacu Visi Putrajaya APEC 2040.

Mesyuarat itu, yang menghimpunkan pemimpin dari 21 ekonomi anggota dari seluruh rantau Asia Pasifik, akan menjadi detik penting bagi Peru berikutan ia mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam diplomasi ekonomi global.

Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang berada dalam bulan-bulan terakhir sebagai presiden sebelum menyerahkan Pejabat Oval kepada Donald Trump yang memenangi pilihan raya presiden AS, antara pemimpin utama yang dijangka hadir di AELW di sini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengetuai delegasi Malaysia, dijangka tiba di sini pada 12 Nov. Beliau akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. 

Dalam kalangan pemimpin ASEAN, ini akan menjadi mesyuarat APEC pertama untuk Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Presiden Vietnam Luong Chong.

Presiden Filipina Ferdinand Bongbong Marcos Jr dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat di Peru. Sebaliknya, beliau melantik pemangku Setiausaha Perdagangan dan Industri Maria Cristina Roque sebagai wakilnya ke sidang kemuncak itu. 

Selain pemimpin ASEAN, ia akan menjadi mesyuarat APEC pertama untuk Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba.

 

Mempertingkat keselamatan  

Menurut laporan berita, seramai kira-kira 13,000 pegawai akan digerakkan oleh Polis Negara Peru (PNP) untuk memastikan keselamatan warga dan pemimpin yang menghadiri AELW.

Lima mempunyai jumlah penduduk seramai 11.36 juta.

Operasi keselamatan, yang dinamakan Pelan Operasi "Minggu Pemimpin Ekonomi", merangkumi tugas-tugas umum dan khusus di lokasi-lokasi utama, termasuk Air Group No. 8, Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chávez dan 19 hotel di daerah Miraflores dan San Isidro, lokasi delegasi APEC akan ditempatkan untuk pelbagai mesyuarat peringkat tinggi. 

Pelan komprehensif ini dirangka untuk menjamin persekitaran yang selamat untuk semua peserta sepanjang acara tersebut, menurut laporan itu.

Bagi memastikan pergerakan yang lancar untuk pemimpin dan perwakilan, kerajaan telah mengumumkan 14 hingga 16 Nov sebagai cuti umum untuk Lima serta wilayah Callao dan Huaral. 

Institusi pendidikan dan pejabat awam di wilayah ini akan beroperasi secara maya.

APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifik menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik, mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC. Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

Ini diikuti China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pada 1993. Chile menyertainya pada 1994 dan pada 1998, Peru, Rusia dan Vietnam menyertainya, menjadikan keanggotaan penuh kepada 21 ekonomi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan