KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Seramai 250 asnaf berjaya khatam al-Quran melalui Program Celik al-Quran kali keempat yang dijalankan sejak April tahun ini sebagai usaha meningkatkan penguasaan bacaan dalam kalangan masyarakat asnaf di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata program ini memfokuskan kepada Kelas Tahsin dengan matlamat agar lebih ramai umat Islam di Wilayah Persekutuan dapat membaca al-Quran dengan baik dan tepat.
Program anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Yayasan Institut Pengajian al-Quran (IpaQ) itu diadakan sejak 2020.
“MAIWP telah memperuntukkan dana zakat berjumlah RM350,000 pada tahun ini bagi membiayai program ini. Seramai 302 peserta telah pun mengikuti program ini sejak mula dilancarkan.
“Pada tahun ini, program itu melibatkan lapan lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya ketika berucap pada majlis khatam sempena Program Celik al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Muhamad Razak Idris.
Selain itu, Mohd Na’im berkata pada tahun hadapan MAIWP akan memperuntukkan dana zakat berjumlah RM324,000 bagi pembekalan 5,000 naskhah al-Quran berserta terjemahan yang akan diagihkan kepada pelajar baharu institusi pendidikan milik MAIWP dalam program ‘1 Pelajar 1 al-Quran’.
“Menerusi inisiatif ini, setiap pelajar yang mendaftar masuk ke institusi pendidikan ini akan menerima satu naskhah al-Quran setiap seorang dengan harapan ia dapat menyuntik kesedaran dan rasa sayang generasi muda terhadap al-Quran,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya berkata pihaknya sedang meneliti keperluan Program Celik al-Quran untuk diperluaskan hingga ke Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.
“Kita akan perluaskan program seperti ini. Daripada sumber kewangan dan bilangan petugas yang kita ada, insya-Allah kita akan perluaskan. Kita juga akan lihat kepada pengajian al-Quran dan Tahsin untuk memperbaiki bacaan … terutamanya golongan asnaf di PPR.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IPaQ Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial