KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Syarikat telekomunikasi U Mobile berjaya menyiapkan 78 daripada 81 menara yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dalam projek Jalinan Digital Negara (JENDELA), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pencapaian syarikat itu jauh lebih baik berbanding beberapa syarikat telekomunikasi lain yang terlibat dalam projek sama, yang mengambil masa lebih lama untuk mengoperasikan menara mereka.
“Ada sesetengah tempat kita dapati menara dah siap tujuh, lapan bulan, sembilan bulan, masih belum (beroperasi). Jadi saya dah minta pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti dan mengeluarkan arahan kepada syarikat Telco jangan lengah masa, segera siapkan,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat projek menara JENDELA di Kampung Sungai Aur di sini, hari ini, beliau berkata bagi projek SMART 600 yang dilaksanakan kerajaan Sarawak, sebanyak 325 menara telah siap dan beroperasi.
“Harapan saya dengan dana sebanyak RM42 juta yang disediakan oleh pihak MCMC bagi pengoperasian menara-menara (SMART 600) ini, lebih banyak menara akan siap dan rakyat akan dapat manfaat,” katanya.
Sementara itu Fahmi berkata satu projek rintis telekomunikasi menggunakan teknologi Low Earth Orbit Satellite (LEO Satellite) bakal dilaksanakan menjelang pertengahan tahun depan.
Beliau berkata projek rintis itu bertujuan memanfaatkan teknologi berkenaan, yang membolehkan perkhidmatan telekomunikasi disalurkan terus ke peranti tanpa perlu melalui menara telekomunikasi.
“Ini bermaksud bagi syarikat telco yang terlibat ataupun yang menempah perkhidmatan direct to device ini, kemungkinan di mana saja kita berada, sekiranya langit terbuka cerah seperti ini, bukan dalam hutan, maka ada basic line yang boleh kita manfaatkan terutama untuk keadaan-keadaan kecemasan,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial