SINTOK, 10 Nov (Bernama) -- Biarpun bergelar anak yatim, pempengaruh media sosial dari Sarawak Emina Kulasic Bong Ei Min, 24, tidak tenggelam dalam populariti malah menjadikan pelajaran sebagai keutamaan sehingga berjaya meraih Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antrabangsa itu pada Majlis Konvokesyen Ke-37 UUM yang berlangsung di sini hari ini.
Emina yang mempunyai 59,200 pengikut di TikTok berkata walaupun mendapat keputusan yang cemerlang, dia masih menjadikan media sosial sebagai pilihan kedua atau pelan B dalam karier hidupnya.
"Nasihat saya jangan jadikan pempengaruh sebagai matlamat utama dalam hidup. Saya sendiri tidak pernah menjadikannya sebagai sasaran kerana semuanya perlu ada pelan A dan pelan B.
"Pendidikan seharusnya menjadi agenda utama kerana dengan pendidikan kita boleh mencapai cita-cita selain memberi inspirasi kepada orang lain dan dapat berkongsi ilmu," katanya yang kini bertugas sebagai eksekutif di sebuah firma komunikasi digital ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Emina berkata dia yang dipelihara oleh ibu saudara sejak berusia 11 tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser paru-paru menyebabkan dia kuat serta kental dalam menghadapi pelbagai cabaran.
"Saya banyak berdikari semasa belajar di sini, saya hidup sendirian dan rakan-rakan banyak menyokong saya dan saya kuat dengan mereka walaupun secara jujurnya, saya ada menangis sedikit tadi bila tengok kawan-kawan ada mak ayah datang meraikan.
"Apa pun saya perlu terus kuat dan hari ini saya pun ada kawan-kawan yang naik pentas sama-sama untuk terima ijazah dan anugerah," katanya yang pernah bergiat aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai Setiausaha Agung MPP UUM sebelum ini.
Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja Muhammad Shuib Rosli, 23, dari Kulim pula berkata pengurusan masa yang baik ialah kunci kepada kejayaan sepanjang menuntut di UUM.
"Perkara paling penting adalah bijak bahagikan masa, saya juga aktif dalam kokurikulum di universiti, dalam masa yang sama saya suka membaca," katanya yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94 dalam Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan.
Shuib berkata dia kini bekerja sebagai penterjemah buku secara sambilan sementara menunggu tawaran kerja tetap dan merancang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial