AM

Platform Media Sosial Diberi Tempoh Sebulan Untuk Mendaftar Bagi Tujuan Pelesenan

12/11/2024 11:19 PM

KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Penyedia platform media sosial diberi tempoh sebulan untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tujuan pelesenan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, susulan rundingan awam yang sedang dijalankan mengenai kod tatalaku untuk menerima maklum balas daripada semua penyedia platform media sosial, perkara ini akan dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.

“Tidak ada perbincangan dua hala mengenai perkara ini, jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, beroperasi lebih daripada lapan juta pengguna di Malaysia, mereka dikehendaki mendaftar dengan MCMC,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sukma di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, kebanyakan penyedia platform media sosial memberikan kerjasama yang baik dalam memberikan maklum balas berkenaan kod tatalaku terbabit.

“Hanya ada satu dua platform yang beranggapan mereka lebih besar daripada negara yang berdaulat, namun kita perlu ingatkan mereka, mereka membuat duit di Malaysia, jadi mereka wajib mematuhi undang-undang negara kita," katanya.

Fahmi berkata Kod Tatalaku tersebut menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh Penyedia Perkhidmatan. Sebagai contoh, mereka perlu responsif terhadap sebarang aduan pengguna dan perlu mengambil tindakan.

Beliau pada masa sama berkata semua penyedia platform media sosial perlu menghormati pendirian kerajaan Malaysia dengan tidak menyekat sebarang kandungan pro-Palestin.

“Dari segi sekatan saya lihat seperti ada antara dua darjat, kalau berkenaan dengan Palestin hampir semua dikekang, malah hantaran Perdana Menteri di Instagram pun boleh diturunkan atas sebab beliau hanya mengutuskan takziah atas kematian pemimpin Hamas.

“Jadi kita sebagai negara merdeka, berdaulat dan mempunyai hubungan diplomatik dengan semua negara termasuk Palestin, pendirian kerajaan, Perdana Menteri wajib dihormati oleh platform-platform ini,” katanya.

MCMC dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pihaknya memulakan rundingan awam mengenai draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial (Penyedia Perkhidmatan) bermula 22 Oktober hingga 5 November lepas.

Rundingan awam itu bertujuan mendapatkan input dan maklum balas daripada Penyedia Perkhidmatan, orang awam, pemain industri dan pihak berkepentingan yang relevan berkenaan draf Kod Tatalaku.

Rundingan awam itu susulan daripada pengenalan Kerangka Pelesenan untuk perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial yang diwartakan pada 1 Ogos lepas dan akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan